Majlis Peguam digesa paksa firma guaman bayar imbuhan minimum kepada pelatih dalam kamar

Majlis Peguam digesa paksa firma guaman bayar imbuhan minimum kepada pelatih dalam kamar

Jurucakapnya Vince Tan Hoo Seh, berkata ia boleh ditetapkan secara berbeza mengikut negeri bergantung kepada kos sara hidup dan keupayaan kewangan firma guaman terbabit.

Pelatih dalam kamar dianggap sebagai golongan rentan kerana mereka dilayan seperti “pekerja rencam”, kata Gerakan Peguam Muda.
PETALING JAYA:
Gerakan Peguam Muda (YLM) meminta Majlis Peguam menggariskan peraturan bagi memaksa firma guaman membayar imbuhan minimum bulanan sebanyak RM1,200 kepada pelatih dalam kamar.

Jurucakapnya, Vince Tan Hoo Seh berkata, jumlah itu sama seperti gaji minimum yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi pekerja di Semenanjung.

“Ia boleh menjadi satu permulaan yang baik dan jumlahnya boleh ditetapkan secara berbeza mengikut negeri tetapi harus bermula dengan minimum RM1,200 bergantung kepada kos sara hidup dan keupayaan kewangan firma guaman terbabit,” katanya kepada FMT.

Tan berkata, pelatih terbabit dianggap sebagai golongan rentan kerana mereka dilayan seperti “pekerja rencam”.

“Akta Profession Undang-undang (LPA) menetapkan latihan perlu dilakukan secara berterusan selama sembilan bulan dan ada di antara mereka yang diminta bekerja tanpa cuti,” katanya.

Katanya, secara puratanya terdapat seramai 1,000 pelatih dalam kamar yang menjalani latihan wajib di bawah seliaan peguam pelatih dalam tempoh setahun sebelum diterima masuk secara sah sebagai peguam.

Peguam muda itu berkata, ia susulan pekeliling terbaru dikeluarkan oleh Jawatankuasa Peguam-peguam Muda Kebangsaan dan Pelatih Dalam Kamar mengenai kegagalan majlis itu mengambil langkah untuk melaksanakan resolusi berkaitan imbuhan minimum yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam Malaysia pada Mac lalu.

Tan berkata, menerusi satu kaji selidik, sebanyak 95.35% daripada 2,492 responden menyokong supaya isu pemberian imbuhan itu diambil tindakan namun pekeliling terbabit tidak menyatakan rancangan yang akan dilakukan oleh majlis.

Menurutnya, pekeliling itu turut menekankan supaya pindaan harus dibuat terhadap LPA untuk melaksanakan gaji minimum.

Katanya, majlis diberi kuasa untuk meminda dan membuat peraturan seperti rancangannya untuk memperkenalkan Kod Tatacara Pelatih Dalam Kamar dan Peguam Pelatih.

“Kami percaya sebarang percubaan daripada majlis ketika ini untuk menangguhkan isu ini ke penggal berikutnya adalah sangat tidak bertanggungjawab. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan sikap kurangnya ‘kemahuan politik’ untuk melihat pembaharuan,” katanya.

Tan berkata, imbuhan minimum itu bukan cadangan baharu dan kali pertama dibangkitkan kira-kira 10 tahun lalu namun tiada sebarang tindakan susulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.