
Menurut Berita Harian, siasatan terbabit dikatakan berkait dakwaan firma itu terlibat dalam penyediaan dokumen mengandungi maklumat palsu atau mengelirukan serta arahan pembayaran yang didakwa memudahkan pemindahan dana berkaitan 1MDB kepada pihak yang tidak diberi kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata penyiasat mengenal pasti elemen kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, termasuk peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Beluau berkata, selepas selesai fasa siasatan domestik, kes terbabit kini bergantung kepada usaha mendapatkan bukti dokumen dan keterangan saksi penting dari luar negara sebelum sebarang keputusan penguatkuasaan muktamad dapat dibuat.
“Siasatan menemukan elemen salah laku, namun bukti lanjut dari luar negara diperlukan untuk mengukuhkan kes,” katanya.
Firma itu dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana 1MDB berjumlah USD$1 bilion, termasuk pengalihan kira-kira USD700 juta kepada entiti luar pesisir yang berada di luar kawalan 1MDB.
SPRM sedang mendapatkan bukti melalui saluran rasmi, termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) dan permohonan Bantuan Perundangan Bersama.
Fasa seterusnya dijangka memberi tumpuan kepada kerjasama dengan pihak berkuasa UK, yang menempatkan pejabat White & Case dan jejak kewangan berkaitan.
Penyiasat juga sedang meneliti pembayaran yang dibuat kepada firma guaman itu, yang dipercayai berkait secara langsung dengan dakwaan penyelewengan aset 1MDB dan peranannya dalam memudahcara pengaturan usaha sama.
Siasatan itu selari dengan laporan sebelum ini bahawa pihak berkuasa Malaysia sedang meneliti, sama ada firma berkenaan memainkan peranan dalam transaksi berkaitan usaha sama kontroversi antara 1MDB dan PetroSaudi.
Menurut portal berita berpangkalan di UK, The Observer, pemindahan USD700 juta yang dikaitkan dengan usaha sama itu yang didakwa disalurkan kepada entiti di luar kawalan 1MDB, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai usaha wajar dan peranan penasihat profesional.