
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkata fenomena disifatkan sebagai ‘masyarakat berfikiran rasuah’ itu terbukti daripada kajian yang menunjukkan trend membimbangkan dalam kalangan generasi muda.
Katanya, kecenderungan untuk ‘menghalalkan cara’ demi keuntungan material merupakan pemikiran yang perlu dibendung.
“Ini terbukti bila 2004, satu kajian dibuat oleh UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) menunjukkan 30% daripada responden terdiri mahasiswa mengatakan mereka sanggup mengambil rasuah sekiranya diberi peluang.
“Tahun 2016 kemudian…ada penurunan sikit iaitu 16% namun demikian, angka-angka ini sebenarnya angka yang tidak sedap didengar kerana kalau 30% ke 16%, di mana mereka berada sekarang,” katanya dalam ucaptama wacana ilmiah perdana SPRM bersama Asia e University (AeU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Azam berkata, golongan terbabit kini berada dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk penjawat awam, ahli politik dan institusi kewangan sekali gus memberi implikasi besar kepada landskap integriti negara.
“Kalau 2016 bermakna sembilan tahun lepas…mereka sekarang berada dalam ‘market’ sebagai pegawai kerajaan, ahli politik, pegawai bank dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia kini berada pada fasa penting untuk memperkukuh semula sistem, memperbaiki kelemahan dan memastikan integriti menjadi teras utama pembangunan negara.
“Apabila negara semakin matang, kita perlu memastikan nilai integriti ini benar-benar diangkat sebagai asas dalam setiap aspek pembangunan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azam mengakui rasuah dalam negara hanya boleh dihapuskan melalui kepimpinan tegas dan ‘political will’ yang tidak berkompromi.
“Selepas lebih 42 tahun dalam bidang ini, saya ingin merumuskan satu perkara yang sangat jelas iaitu rasuah tidak akan dapat dihapuskan hanya dengan undang-undang.
“Tetapi ia hanya dapat dibanteras apabila mempunyai kepimpinan yang tegas dan tidak berkompromi, selari penguatkuasaan yang konsisten dan tanpa berbelah bahagi,” katanya.
Katanya, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta juga penting, dan masyarakat perlu dipupuk dengan kesedaran untuk menolak rasuah serta memupuk integriti.