Remaja di Pahang terima vaksin pertengahan bulan ini

Remaja di Pahang terima vaksin pertengahan bulan ini

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Nor Azimi Yunus berkata, dianggarkan kira-kira 113,000 pelajar sekolah yang layak bakal terima sekurang-kurangnya satu dos.

Dr Nor Azimi Yunus berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 kerana mereka bakal menduduki peperiksaan.
KUANTAN:
Seramai 113,000 pelajar sekolah di Pahang yang layak menerima vaksin dijangka mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan mulai pertengahan bulan ini.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Nor Azimi Yunus berkata, pemberian suntikan itu akan dilakukan secara berperingkat membabitkan pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun.

Katanya, suntikan dos pertama akan diberikan sebaik sahaja penyelarasan berkaitan proses suntikan itu dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

Azimi berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 kerana mereka bakal menduduki peperiksaan, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Kalau boleh mereka (pelajar) ini perlu melengkapkan dua dos sebelum sesi persekolahan bermula pada Oktober ini.

“Bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula, kita mengutamakan mereka yang mempunyai sejarah penyakit dan berisiko,” katanya ketika program ‘Bicara Pahang’ yang disiarkan di laman sosial rasmi kerajaan Pahang, semalam.

Beliau turut memaklumkan, setakat ini sebanyak 54.9% daripada keseluruhan 1.175 juta golongan dewasa di Pahang yang layak divaksin telah lengkap menerima suntikan mereka.

Bagaimanapun, terdapat 18% populasi dewasa di negeri itu belum mendaftar sebagai penerima vaksin.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah memulakan proses vaksinasi secara jumpa terus bagi memastikan sasaran memperoleh imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini dapat dicapai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.