
Menerusi kenyataan di Facebook, jurucakap JSPT berkata, pihaknya menerima laporan mengenai sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu melawan arus dekat KM 23 sehingga KM 20 lebuh raya berkenaan.
Turut difahamkan, anggota EMPV bertugas bertindak awal untuk mengesan suspek dan berjaya menahannya di Plaza Tol Kemuning menghala Kuala Lumpur.
Pihak JSPT dalam pada itu turut menghargai kerjasama orang awam dalam menghulurkan bantuan bagi menahan suspek.
“Semasa kejadian, kerjasama orang awam dalam menghulurkan bantuan bagi menahan suspek amatlah dihargai. Suspek seterusnya dibawa ke Balai Trafik Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan.
Dalam kejadian berasingan tiga hari lalu, dua maut termasuk seorang remaja perempuan dalam kemalangan di KM 8.5 Lebuh Raya Persekutuan, setelah kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melawan arus dalam kejadian jam 2.09 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton itu dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari arah Kuala Lumpur ke Klang secara melawan arus telah bertembung dengan sebuah Proton Wira.
Baharudin berkata, hasil saringan awal ujian air kencing pemandu pacuan empat roda itu positif dadah jenis ganja dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini.