Bantuan wang ihsan bencana naik kepada RM1,000, kata PM

Bantuan wang ihsan bencana naik kepada RM1,000, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif melibatkan peruntukan RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah.
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju menaikkan kadar bantuan wang ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau bencana lain yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif melibatkan peruntukan RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara itu dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah.

“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

“Ini antara pendekatan baharu yang diambil oleh kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal Nov sehingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat JPBP yang dipengerusikannya pada 13 Sept.

Ismail berkata, pendekatan lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan adalah pembangunan sistem e-sumbangan NGO sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

“Bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik,” katanya.

Katanya, badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas.

“Saya menasihatkan agar semua pihak yang terlibat supaya konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing-masing.

“Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk terhadap jiran dan rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh nanti, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.