
Bung, yang juga menteri kerja raya negeri berkata, Kabinet Sabah telah memberi kepercayaan kepadanya untuk mengenal pasti punca kejadian khususnya banjir kilat yang kerap berlaku selepas hujan lebat.
Katanya, ketika ini, banjir kilat lazimnya berlaku selepas hujan lebat selama lebih empat jam.
“Tetapi kita tidak tahu daripada mana sumber dan puncanya. Jadi, kita akan buat kajian bagi mengenal pasti dan seterusnya mencari kaedah penyelesaian,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JKR Sabah.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang perlu untuk mengatasi isu yang dikenal pasti melalui kajian dilakukan.
Bung yang juga pengerusi Umno Sabah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pelaksanaan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang berjalan menyumbang kepada masalah banjir yang kini semakin memburuk.
Semalam, Naib Presiden Warisan Junz Wong mempersoal usaha yang dilakukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mengurus masalah banjir yang melanda ibu negeri Sabah selain beberapa daerah berdekatan seperti Penampang dan Putatan.
Wong juga mendesak kerajaan negeri mendedahkan status rancangan mitigasi banjir yang melibatkan Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya.
“GRS telah berkuasa selama setahun, jadi apa yang terjadi dengan rancangan mitigasi banjir?” soal Wong.
Sementara itu, Bung menjelaskan bekalan air di beberapa kawasan terpaksa dihentikan sementara selepas banjir di Penampang Rabu lalu.
Katanya, ini kerana loji rawatan air (LRA) ditenggelami lumpur dan kotoran sambil menambah kerja pembersihan dan penggantian peralatan yang rosak sedang dilaksanakan.
“Ia akan mengambil masa kira-kira sebulan untuk diganti baharu dan peralatan ini perlu ditempah dari luar negara,” katanya sambil menambah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menghantar tangki air bagi kegunaan penduduk terjejas.
Cuaca buruk pada Rabu mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Penampang dan beberapa daerah lain di Sabah terjejas teruk.
Hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh, termasuk yang mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian di kuarters pekerja di Penampang.
Selain itu kira-kira 30 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara setakat 8 pagi tadi.