Sultan Johor bidas KDN, kecewa syarat ketat MM2H

Sultan Johor bidas KDN, kecewa syarat ketat MM2H

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, syarat ketat akan membawa implikasi negatif kerana MM2H sebelum ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara, rakyat dan kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enggan mengkaji semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang diumumkan baru-baru ini.

Sultan Ibrahim menerusi catatan Facebook berkata, baginda akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memandangkan Johor adalah antara destinasi popular MM2H untuk warga asing dan sumbangan program itu kepada pendapatan negeri berkenaan.

Baginda berkata, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin sebelum ini menyatakan kerajaan akan menyemak semula syarat ketat MM2H.

“Namun apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes dan ini adalah di luar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

“Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak kementerian hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan, bukannya melibatkan semua peserta.”

Katanya, keputusan mengenakan syarat ketat akan membawa implikasi negatif memandangkan MM2H sebelum ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara, rakyat dan kerajaan.

“Jika sekarang kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuathiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia.

“Saya berharap perkara ini akan mendapat perhatian serta pertimbangan kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini.”

Ini kali kedua Sultan Johor bersuara secara terbuka berhubung syarat ketat MM2H yang diumumkan KDN bulan lalu.

Pada 30 Ogos lalu, Sultan Ibrahim memberi amaran syarat baharu yang lebih ketat akan menjejaskan pendapatan dan imej negara serta menakut-nakutkan pelabur.

Oleh itu, baginda meminta kerajaan menyemak semula syarat baharu itu bagi mencapai imbangan positif kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.

Di bawah syarat baharu itu, pendapatan luar negara peserta MM2H mesti sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.

Mereka juga perlu memiliki akaun simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta berbanding simpanan antara RM300,000 dan RM500,000 sebelum ini, serta pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.