Kenapa kami tak terima peruntukan tetap RM100,000, soal ADUN pembangkang Johor

Kenapa kami tak terima peruntukan tetap RM100,000, soal ADUN pembangkang Johor

ADUN Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse berkata buat masa ini wakil rakyat kerajaan menerima peruntukan tahunan lebih banyak.

Keadaan di Johor lebih mencerminkan realiti politik semasa yang memerlukan kebijaksanaan dan kerjasama rapi antara kerajaan-pembangkang, kata Jimmy Puah Wee Tse. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Seorang wakil rakyat pembangkang Johor mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak memberi peruntukan pembangunan RM100,000 yang adil sama seperti yang diterima ADUN kerajaan.

ADUN Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse berkata, buat masa ini, wakil rakyat kerajaan negeri menerima peruntukan tahunan lebih banyak berbanding ADUN pembangkang.

Katanya, ADUN pembangkang cuma diberi akses kepada peruntukan kecemasan, pengurusan pejabat dan aktiviti rakyat tetapi tidak peruntukan pembangunan tetap setiap tahun sebanyak RM100,000 yang juga sama penting untuk kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing.

“Jika di peringkat pusat boleh wujud MoU (perjanjian persefahaman) terma peruntukan sama rata kerana kerajaan PN/BN punyai majoriti tipis, majoriti yang dimiliki kerajaan negeri Johor jauh lebih tipis dan lebih sengit (BN 29-27 PH).

Jimmy Puah Wee Tse.

“Maka (keadaan) lebih mencerminkan realiti politik semasa yang memerlukan kebijaksanaan kerajaan dan kerjasama rapi antara kedua-dua pihak demi kestabilan politik dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Puah berkata, sebagai salah seorang ADUN di Johor, beliau berharap kerajaan negeri dapat mengikuti jejak langkah kerajaan pusat.

“Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor boleh membuktikan ‘cara Johor’ juga sama baik atau lebih baik daripada cara kerajaan pusat dengan menyalurkan peruntukan sama rata dan sama adil kepada semua ADUN di Johor,” kata beliau yang juga timbalan pengerusi PKR Johor.

Tambahnya, beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mastura Mohd Yazid pada 23 September lalu yang mengatakan setiap wakil rakyat pembangkang dan kerajaan akan diberi nilai peruntukan yang sama.

Terdahulu, pada Ogos Hasni mengumumkan semua 56 ADUN Johor diberi peruntukan tambahan (khas) berjumlah RM150,000 bagi membantu rakyat yang memerlukan di kawasan masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.