
Katanya, fokus utama perlu diberi untuk menjayakan RMK12 dengan menangguh segala projek mega kerajaan dan kembali kepada rakyat.
“Parlimen ini harus digunakan sepenuhnya untuk menuntut supaya RKM12 ini berikan tumpuan kalau perlu tangguhkan projek-projek besar, tangguh projek lapangan terbang, ECRL (projek Laluan Rel Pantai Timur) dan teliti semula MRT3.
“Apa faedah kita nak teruskan dalam keadaan rakyat kelaparan, menganggur, tak cukup makan dan tak cukup mutu pendidikan sekarang,” katanya ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat.
Anwar turut menggesa agar sasaran purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025 perlu dikaji semula.
Katanya, sasaran itu bagus namun, adakah ia realistik memandang kadar kemiskinan dan pengangguran di negara kini.
“Lebih baik jika rata-rata pendapatan isi rumah berdasarkan kadar kemiskinan,” katanya.
Anwar juga bersetuju dengan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang mengatakan bahawa gaji yang diterima walaupun di sektor swasta dan graduan telah menurun, sementara beberapa profesional berhijrah ke luar negara untuk mencari pendapatan yang lebih tinggi.
Mengulas mengenai itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menambah Jabatan Perangkaan juga harus menyedari bahawa ada mereka yang bekerja hanya beberapa jam seminggu dan tidak mendapat cukup pendapatan untuk menampung keluarga mereka.
Semalam, Ismail mengumumkan empat dasar dan 14 pemacu perubahan bersifat holistik demi negara, ekonomi dan rakyat menjadi pilihan Keluarga Malaysia dalam pembentangan RMK12.
Katanya, pelan yang diperkenal tidak tertumpu kepada penambahan pendapatan negara sahaja tetapi turut melibatkan kemaslahatan rakyat.