
Muhammad Mageswaran, 48, terpaksa berhenti kerja pada tahun lalu selepas beberapa kali menjalani pembedahan pada kaki kanan akibat menderita penyakit kencing manis kronik hampir 20 tahun.
Pembedahannya itu meninggalkan kesan luka pada kakinya dan dia kini hanya mampu bergerak menggunakan tongkat.
Selain itu, Mageswaran juga dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mempunyai kad OKU.
Bagaimanapun, dia kesal apabila doktor enggan meluluskan permohonannya bagi mendapatkan manfaat itu dengan alasan dia berupaya untuk bekerja kerana masih boleh berjalan.
“Permohonan saya ditolak sebanyak tiga kali apabila hanya dua daripada tiga doktor meluluskannya,” katanya kepada FMT.

“Mereka memberitahu bahawa memandangkan saya masih boleh berjalan, jadi saya tidak layak.
“Doktor yang merawat penyakit kencing manis tahu saya tidak boleh bekerja manakala doktor ortopedik juga sedar saya akan merasa sakit ketika berjalan dan memerlukan bantuan tongkat atau kerusi roda sepanjang hayat. Saya tidak tahu bagaimana mereka beranggapan saya masih boleh bekerja dalam keadaan ini.”
Tanpa sebarang sumber pendapatan dan wang simpanan yang semakin susut, dia kini tinggal bersama ibunya yang berusia 72 tahun di Taiping dan terpaksa bergantung dengan wang pencen bapanya sebanyak RM1,100 sebulan.
Katanya, dia pernah memohon Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan MySalam (skim insurans takaful) tetapi turut ditolak kerana tidak mempunyai dokumen lengkap dan alasan sama turut menyebabkannya gagal mendapatkan sebarang bantuan daripada JKM.
Ketika ini, dia memerlukan perbelanjaan khusus bagi membeli makanan berkualiti dan makanan tambahan bagi melawan penyakitnya serta kain pembalut luka yang diganti dua kali sehari.
“Saya boleh melakukannya secara percuma di klinik kerajaan tetapi tidak mampu untuk menggunakan pengangkutan ke sana. Keadaan agak sukar,” kata Mageswaran.
“Saya telah membuat rayuan untuk panel doktor mendengar semula permohonan rayuan Pencen Ilat dan diharapkan mereka akan menetapkan tarikh nanti.”
Orang ramai yang ingin membantu Mageswaran, boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0822-8290-0033-2755 atau hubunginya sendiri di talian 010-3827795.