Johor beralih Fasa 3, Pahang Fasa 4 PPN

Johor beralih Fasa 3, Pahang Fasa 4 PPN

Johor akan menyertai Lembah Klang dan Melaka yang memasuki Fasa 3 pada 1 Oktober.

Johor akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara Jumaat ini.
PETALING JAYA:
Johor akan memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Jumaat ini, manakala Pahang pula ke Fasa 4, kata Menteri Kanan Keselamatan Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, dengan mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Johor akan menyertai Lembah Klang dan Melaka, yang memasuki Fasa 3 pada 1 Oktober.

Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Sabah kekal dalam Fasa 2.

Perlis, Terengganu dan Sarawak masih dalam Fasa 3 manakala Negeri Sembilan dan Labuan berada di Fasa 4.

Sementara itu, Hishammuddin berkata mesyuarat juga memutuskan beberapa kelonggaran baharu bagi sektor pajak gadai, tembakau, borong serta upacara perkahwinan bagi penganut Hindu dan kristian yang akan berkuatkuasa 9 Oktober.

“Waktu beroperasi pasar borong di Fasa 2 dan Fasa 3 dibenarkan mengikut syarat lesen dan permit Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti ditetapkan dengan syarat pekerja divaksin lengkap dan mematuhi SOP sedia ada.

“Pelaksanaan Upacara Mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus (Holy Matrimony) bagi agama Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Kementerian Perpaduan Negara akan memaklumkan kepada Persatuan Agama Hindu dan Persatuan Agama Kristian berhubung SOP perlu dipatuhi.

Seterusnya, pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran bawah sektor pajak gadai yang berdaftar bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibenarkan dengan mematuhi syarat ditetapkan.

“Pekerja dan pembida telah dilengkapi vaksin, hanya melibatkan 54 pelelong yang telah dikenalpasti di seluruh negara, terhad kepada 30 minit per sesi pada 1 dan 7 hari bulan setiap bulan.

“Kapasiti berdasarkan, Fasa 2 60% pekerja dan 50% pembida, Fasa 3 80% pekerja dan 80% pembida, manakala Fasa 4 100% kapasiti pekerja dan pembida,” katanya.

Beliau berkata, selain itu sektor tembakau dan rantaiannya dibenarkan beroperasi di Fasa 2 PPN dan seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.