Penyelia asrama sekolah agama dipenjara, denda terima rasuah

Penyelia asrama sekolah agama dipenjara, denda terima rasuah

Tertuduh boleh dipenjara lapan bulan, jika gagal membayar denda RM8,000.

Muhamad Rozi Ahmad Puad mengaku bersalah menerima rasuah RM5,800 sebagai dorongan tidak membuat sebarang pemotongan terhadap tuntutan kontraktor perkhidmatan bekalan makanan di Sekolah Menengah Agama Al-Ulum al-Syar’iyyah. (Gambar Bernama)
IPOH:
Seorang penyelia asrama sekolah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah RM5,800 berhubung tuntutan kontraktor perkhidmatan bekalan makanan empat tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru turut memerintahkan Muhamad Rozi Ahmad Puad, 36, dipenjara lapan bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Rozi didakwa sebagai penjawat awam, iaitu penyelia asrama di Sekolah Menengah Agama Al-Ulum al-Syar’iyyah di Bagan Datuk, secara rasuah menerima RM5,800 daripada seorang lelaki yang dimasukkan ke akaun Maybank miliknya.

Wang berkenaan sebagai upah untuk Rozi tidak membuat sebarang pemotongan terhadap tuntutan kontraktor perkhidmatan bekalan makanan di sekolah berkenaan. Dia dituduh melakukan perbuatan di sekolah itu pada 31 Julai 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor, manakala Rozi tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.