Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 garis 4 strategi, bantu lahirkan graduan kalis masa depan

Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 garis 4 strategi, bantu lahirkan graduan kalis masa depan

Pelan berkenaan juga membantu industri pendidikan meningkatkan kebolehpasaran graduan berimpak tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata pelan itu turut menekankan elemen pengukuhan kolaborasi dalam bidang pembangunan akademik serta kebolehpasaran graduan yang berimpak tinggi melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
PETALING JAYA:
Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 menggariskan empat strategi utama bagi mencapai matlamat membantu institusi pengajian tinggi melahirkan graduan kalis masa depan, holistik dan seimbang.

Strategi berkenaan adalah pengukuhan kecemerlangan bakat; peluasan kerjaya pelajar; pemantapan pengajaran dan pembelajaran (PdP); dan pemerkasaan hubungan industri.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata kerangka strategi ini bagi meraikan pembentukan ekosistem ‘quadruple helix’ antara graduan; pakar akademik; industri; dan kerajaan serta komuniti dalam landskap sistem pendidikan tinggi negara.

“Pelan ini turut menekankan elemen pengukuhan kolaborasi dalam bidang pembangunan akademik serta kebolehpasaran graduan yang berimpak tinggi melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Pemerkasaan elemen inovasi dan teknologi dalam ekosistem pengajaran dan pembelajaran juga diberi perhatian khusus, selaras dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 yang disiarkan secara maya.

Dalam majlis itu, KPT turut memeterai perjanjian persefahaman dengan dua agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Talentcorp, untuk menangani secara bersama isu berkaitan dengan kebolehpasaran graduan.

Noraini berkata, melalui kolaborasi ini, PERKESO menawarkan penggunaan Portal MyfutureJobs kepada graduan IPT dan perkongsian data pekerjaan bagi membantu KPT membuat perancangan perkara berkaitan dengan kebolehpasaran graduan dengan lebih tepat secara ‘evident based’.

“Manakala Talentcorp pula menawarkan penggunaan Modul TalentcorpNEXT (Nurturing Expert Talent) bagi membolehkan pemprofilan kerjaya dilakukan.

Menerusi inisiatif ini, katanya, pelajar dapat menentukan kerjaya yang mereka akan ceburi selepas menamatkan pengajian.

“Dan yang lebih penting, mereka dapat mengenal pasti lebih awal kemahiran yang perlu dikuasai bagi membolehkan mereka pada akhirnya menceburi kerjaya tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini juga mengumumkan kerjasama strategik antara KPT dengan Universiti Utara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dalam membangunkan modul Padanan Pekerjaan – JobMatching@GREaT.

Katanya, modul yang boleh diakses melalui Portal GREaT merupakan platform untuk memudahkan pihak industri menjejak graduan yang memenuhi kriteria dan keperluan untuk ditawarkan peluang pekerjaan yang bersesuaian.

“Keistimewaan modul ini terletak pada keupayaannya untuk memadankan kriteria keperluan bakat oleh industri secara langsung dengan data graduan dalam Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) di KPT.

“Jadinya, graduan tidak perlu lagi memohon untuk mengisi kekosongan jawatan kerana padanan dilakukan secara automatik. Modul ini juga bertindak sebagai pelengkap kepada portal-portal padanan pekerjaan yang sedia ada di luar sana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.