PRN Melaka: DAP tampil 2 muka baharu, pilihan raya dianggap ‘mencabar’

PRN Melaka: DAP tampil 2 muka baharu, pilihan raya dianggap ‘mencabar’

Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan PKR di 11 kerusi, manakala Amanah, 9 kerusi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (duduk di tengah) mengumumkan bahawa parti berkenaan akan bertanding di lapan kerusi pada pilihan raya negeri Melaka. (Gambar DAP)
KUALA LUMPUR:
DAP mengumumkan akan bertanding di lapan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, termasuk membariskan dua calon muka baharu dan mengekalkan enam calon lama.

Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP, sebelum ini mengumumkan akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu, dengan PKR dijangka bertanding di 11 kerusi dan Amanah, sembilan kerusi.

Pada sidang media maya di ibu pejabat DAP, di sini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, mengumumkan lapan calon parti berkenaan dengan harapan untuk membantu PH merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri.

Calon DAP adalah seperti berikut;

  • Gadek – Saminathan Ganesan.
  • Pengkalan Batu – Muhamad Danish Zainudin (muka baharu).
  • Ayer Keroh – Kerk Chee Yee.
  • Kesidang – Seah Shoo Chin.
  • Kota Laksamana – Low Chee Leong.
  • Duyong – Damian Yeo Shen Li.
  • Bandar Hilir – Leng Chau Yen (muka baharu).
  • Bemban – Tey Kok Kiew.

Saminathan, Kerk, Seah, Leow dan Yeo adalah penyandang kerusi masing-masing, manakala Tey adalah bekas ADUN Bandar Hilir.

Danish, 25, dan Leng, 37, akan bertanding buat pertama kali, dengan Danish bertanding di kerusi yang pernah disandang bekas ahli DAP, Norhizam Hassan Baktee, iaitu seorang daripada empat ADUN yang bertindak menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, sekali gus membawa kepada keruntuhan kerajaan negeri.

Wong Fort Pin, yang sebelum ini menyandang kerusi DUN Bemban, digugurkan untuk PRN Melaka pada 20 Nov ini.

Lim berkata, PRN Melaka dijangka “sangat sukar susulan parti yang bertanding tidak dibenarkan berkempen bersemuka”, merujuk kepada larangan berceramah dan kunjungan ke rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

Pada sidang media berkenaan, turut hadir ialah veteran DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.