Apa salahnya, tiada masalah cakap Melayu dalam sidang antarabangsa, kata Wong Chen

Apa salahnya, tiada masalah cakap Melayu dalam sidang antarabangsa, kata Wong Chen

Ahli Parlimen PKR itu mempertahankan Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dikritik kerana menggunakan bahasa kebangsaan ketika berucap dalam sidang antarabangsa di Scotland.

Tuan Ibrahim Tuan Man dikritik segelintir warganet kerana berucap menggunakan bahasa Malaysia ketika persidangan antarabangsa di Scotland itu.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PKR mempertahankan Tuan Ibrahim Tuan Man selepas Menteri Alam Sekitar dan Air itu dikecam kerana bercakap menggunakan bahasa Malaysia ketika satu persidangan antarabangsa di Scotland.

Wong Chen menegaskan beliau tidak melihat sebarang masalah dalam perkara itu, malah telah menasihatkan Tuan Ibrahim menggunakan bahasa kebangsaan sekiranya tidak selesa berbahasa Inggeris.

Katanya, ini penting memandangkan ucapan pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland, perlu tepat terutama dari segi isu teknikal.

“Ucapan itu mesti disampaikan dengan keyakinan dan tahap keselesaan menteri berkenaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Subang itu berkata, perkhidmatan jurubahasa profesional memang disediakan untuk COP26, sama seperti persidangan antarabangsa lain.

“Malah, kebanyakan ucapan antarabangsa bukannya disampaikan dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa segelintir warganet mengkritik keputusan Tuan Ibrahim menggunakan bahasa Malaysia kerana menunjukkan beliau tidak fasih berbahasa Inggeris.

Namun tidak kurang juga memuji menteri itu sebagai memartabatkan bahasa kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.