Budak didera sampai mati: Ibu, teman lelaki direman

Budak didera sampai mati: Ibu, teman lelaki direman

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pasangan itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu melengkapkan siasatan

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mayat mangsa masih belum dituntut dan masih berada di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ibu dan teman lelakinya direman tujuh hari bagi membantu siasatan susulan kematian anak lelaki wanita itu yang berusia lima tahun, dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pasangan itu direman mulai semalam sehingga Jumaat ini, bagi membantu melengkapkan siasatan kes terbabit sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Mereka direman tujuh hari sehingga 10 Disember ini. Tiada tangkapan lain dibuat, sebaliknya hanya dua suspek ini iaitu ibu kandung mangsa dan teman lelakinya.

“Mayat mangsa masih belum dituntut dan masih berada di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Ibu mangsa sebelum ini bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura. Difahamkan ibunya sudah banyak kali berkahwin dan mempunyai lapan anak, tetapi tidak mendaftarkan perkahwinannya di negara ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, media melaporkan kematian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dipercayai didera ibu kandung dan teman lelaki ibunya, selepas polis menerima panggilan daripada petugas HSA, pada kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar, dipetik berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal di Taman Nusa Bestari, di sini, bersama ibu kandung dan teman lelaki ibunya, selain seorang adik dan kakak.

Katanya, pemeriksaan ke atas badan mangsa menemui kecederaan di mulut dan lebam di seluruh bahagian depan serta belakang badan kemungkinan akibat didera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.