Najib kekal bebas sementara tunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan

Najib kekal bebas sementara tunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan

Pagi tadi Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib Razak membabitkan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Najib Razak akan kekal bebas sementara menunggu keputusan rayuan kes rasuah SRC International Sdn Bhd kepada Mahkamah Persekutuan.

Ia susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk penangguhan sabitan dan hukuman.

“Kami membenarkan permohonan itu mengikut terma dan syarat Mahkamah Tinggi,” kata Karim, yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Tahun lepas, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman penjara memandangkan denda berat dikenakan.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Ahli Parlimen Pekan itu yang didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, Nazlan menaikkan jaminan Najib daripada RM1 juta kepada RM2 juta dengan dua penjamin.

Beliau turut mengarahkan Najib melaporkan diri di balai polis pilihannya pada hari pertama dan ke-15 setiap bulan.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berhujah di hadapan panel bahawa penangguhan itu harus dibenarkan memandangkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan telah difailkan.

Beliau menggesa mahkamah membenarkan anak guamnya kekal bebas berdasarkan syarat yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.

Pendakwa raya ad hoc V Sithambaram berkata, beliau mendapat arahan untuk menyerahkan kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicaranya.

Awal hari ini, Mahkamah Rayuan mengesahkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Najib oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam keputusan sebulat suara, Karim berkata Nazlan tidak tersalah arah sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Najib kekal Ahli Parlimen Pekan

Sementara itu, seorang peguam berkata, Najib akan kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan berikutan pemfailan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

A Srimurugan berkata, kerusi itu hanya akan dikosongkan jika beliau gagal memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

“Perkara 48(4)(b) Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa Najib boleh kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga beliau menamatkan rayuannya di mahkamah tertinggi,” katanya.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan menyatakan bahawa seorang wakil rakyat hilang kelayakan jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lebih setahun, atau denda RM2,000 dan lebih, serta tidak mendapat pengampunan.

Srimurugan bagaimanapun berkata, Najib berisiko kehilangan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya kilat atau umum jika Mahkamah Persekutuan tidak mendengar rayuannya.

“Ini kerana statusnya akan kekal sebagai orang yang disabitkan kesalahan melainkan mahkamah tertinggi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.