Hujan reda awal pagi, penduduk Lembah Klang bergegas beli barang keperluan

Hujan reda awal pagi, penduduk Lembah Klang bergegas beli barang keperluan

Jabatan Meteorologi meramalkan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya hari ini di beberapa kawasan di ibu negara dan Selangor.

Jalan utama di Bandar Mahkota Cheras masih ditutup susulan banjir sejak semalam. (Gambar Ihsan penduduk)
PETALING JAYA:
Kebanyakan penduduk di sekitar Lembah Klang mengambil peluang membeli barang keperluan asas dan barang basah, sebagai persediaan kemungkinan banjir lebih buruk, susulan hujan lebat sejak Jumaat lalu, berhenti awal pagi tadi.

Seorang penduduk di kawasan Mahkota Cheras Kuala Lumpur, Nas Norziela Nasbah, berkata sebaik hujan berhenti jam 9 pagi tadi, beliau bergegas ke kedai runcit berhampiran untuk membeli keperluan asas bagi tempoh seminggu.

“Sampai saja di kedai, banyak juga barang habis… saya hanya sempat ‘top up’ keperluan yang perlu saja memandangkan sudah hujung bulan, banyak yang perlu dicatu,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Katanya, walaupun perkhidmatan penghantaran makanan tersedia di hujung jari, banyak pesanan gagal dihantar oleh ‘rider’ kerana perjalanan mereka tersangkut di tengah jalan, ekoran jalan ditutup kerana banjir.

“Nak tak nak, memang tiada pilihan kena masak sendiri juga,” tambahnya.

Air tasik di sebuah perumahan di Puncak Alam melimpah ke ruang pejalan kaki. (Gambar Ihsan penduduk)

Dalam pada itu, Norziela berkata, walaupun kawasan sekitar terjejas akibat banjir yang disifatkan terburuk sejak menetap di kawasan itu pada 2012, beliau bersyukur kerana tinggal di kediaman jenis tinggi.

“Saya memang tak dapat tidur semalaman, memang la rumah di tingkat 5, tetapi bimbang air banjir naik tinggi di kawasan parkir. Mujur air naik hanya di paras buku lali sahaja,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, laluan utama di Bandar Mahkota Cheras setakat ini masih ditutup bagi kedua-dua hala susulan air sungai berdekatan membanjiri jalan raya dan kawasan perumahan berdekatan.

“Setakat jam 9 pagi tadi, jalan utama masih dipenuhi air… ada penduduk maklumkan air sungai mula melimpah kira-kira jam 9 malam tadi,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Norhatina Shuib yang menetap di kawasan Puncak Alam, berharap cuaca baik pada hari ini, berlarutan hingga ke malam, memandangkan tasik di kawasan perumahannya sudah melepasi paras bahaya akibat hujan tanpa henti, sejak kelmarin.

Beliau turut berkongsi detik cemas apabila terpaksa “berpanas” dan “bergelap” lebih enam jam kerana keputusan bekalan elektrik sejak 1 pagi tadi.

“Elok saja anak-anak baru tidur, tiba-tiba bekalan elektrik terputus, kami anak beranak jadi trauma kerana kawasan perumahan gelap gelita, telefon mudah alih saya pula habis bateri,” katanya yang pertama kali berdepan situasi sedemikian tanpa suami di sisi.

Tambahnya, walaupun kawasan perumahan yang didiami agak senang untuk mendapatkan akses barangan asas, beliau tetap membuat sedikit pembelian sebagai persediaan lebih buruk.

“Kejadian banjir secara tiba-tiba ini membuatkan saya lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya berlaku hari ini di beberapa kawasan di ibu negara dan Selangor.

Antara kawasan yang terlibat adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat serta Hulu Langat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.