PM jangan senyap, kata Kit Siang mengenai dakwaan terhadap KP SPRM

PM jangan senyap, kata Kit Siang mengenai dakwaan terhadap KP SPRM

Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melakukan siasatan terhadap dakwaan mengatakan Azam Baki memiliki banyak saham syarikat.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Malaysia dijangka mencapai kedudukan yang rendah dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bulan depan.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata Perdana Menteri mesti menamatkan “konspirasi sunyi” selama dua bulan berhubung dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang dikatakan memiliki banyak saham dalam syarikat.

Ini susulan peletakan jawatan ahli ekonomi Edmund Terence Gomez sebagai ahli panel SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi SPRM.

Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, turut menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai rasuah dan penyalahgunaan/pembaziran dana awam melakukan siasatan berhubung dakwaan terhadap Azam.

Katanya, jawatankuasa itu perlu meneliti Laporan Integriti Kewangan Global yang mendedahkan bahawa Malaysia kerugian besar sebanyak RM1.8 trilion antara 2005 dan 2014 serta kedudukan dan markah yang lemah Malaysia dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI).

“Ini adalah mendesak dan penting terutamanya kerana rakyat Malaysia yang sedang menunggu dalam resah untuk CPI TI 2021 dikeluarkan bulan depan di mana Malaysia dijangka berada di kedudukan dan mendapat markah yang teruk, mencerminkan usaha anti-rasuah yang semakin teruk di Malaysia tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata masa sudah tiba untuk rakyat Malaysia menuntut ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi berhubung perkara itu.

Katanya, konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Ismail Sabri Yaakob tidak boleh berasaskan Malaysia yang dianggap semakin korup di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam surat perletakan jawatan Gomez yang dikongsi bersama media semalam, beliau berkata timbul persoalan berhubung “hubungan antara perniagaan dan pihak penguatkuasa”, dan situasi “konflik kepentingan” membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Gomez turut berkata bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekaligus mencadangkan “ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera”.

Beberapa Ahli Parlimen PKR pada 14 Dis menarik perhatian Dewan Rakyat kepada dakwaan membabitkan seorang pegawai tinggi SPRM. Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan bebas terhadap pegawai berkenaan.

Gomez dilantik ke panel itu bagi tempoh dua tahun bermula 1 Jun 2020, dan sepatutnya tamat pada 31 Mei tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.