
Menjawab ciapan di Twitter oleh pengasas bersama Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin bahawa dua pelajar berstatus pelarian dilarang memasuki premis itu untuk membaca, DBKL yang mengendalikan perpustakaan berkenaan berkata tiada polisi seumpama itu dilaksanakan di situ.
“Perpustakaan Kuala Lumpur sentiasa mengalu-alukan warganegara atau bukan warganegara untuk menggunakan kemudahannya dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” kata DBKL dalam kenyataan kepada FMT.
“Tiada sebarang kenyataan bertulis atau polisi atau secara verbal yang menggunakan perkataan ‘refugees’ atau seumpama dengannya dikeluarkan oleh pihak perpustakaan,” katanya dengan menambah tindakan seumpama itu boleh mencetuskan diskriminasi perkauman.
Hartini memberitahu FMT, kejadian itu berlaku awal minggu ini apabila Mathavi Nadarajah, seorang guru di Yayasan Chow Kit, membawa dua kanak-kanak untuk membaca di perpustakaan berkenaan namun tidak dibenarkan masuk.
Mathavi memberitahu Hartini, wakil perpustakaan itu telahpun menghubunginya dan memohon maaf, dengan kemungkinan berlaku kesilapan komunikasi melibatkan kakitangan sementara di situ.
Bagaimanapun, kenyataan DBKL kepada FMT tidak menyebut mengenai kejadian itu, sebaliknya berkata siasatan awal terhadap ciapan Hartini itu mendapati kejadian berlaku pada Mac 2021 ketika seorang guru berbangsa Melayu membawa beberapa murid bukan warganegara untuk memasuki PKL.
Hartini mengakui kejadian itu seperti dinyatakan, namun turut menegaskan perkara sama berlaku minggu ini.
Merujuk kejadian pertama pada Mac, DBKL berkata ketika itu kerajaan membataskan pergerakan warga asing di kawasan awam disebabkan peningkatan jangkitan Covid-19.
“Kakitangan PKL telah memaklumkan agar beliau mematuhi peraturan yang ditetapkan. Beliau juga memahami perkara tersebut dan beredar,” kata kenyataan itu.
“PKL telah ditutup semula pada 8 Mei kerana arahan PKP (perintah kawalan pergerakan) di seluruh negara dan dibuka semula pada 5 Okt.
“Dari tempoh tersebut hingga kini, tiada sebarang halangan dikenakan kepada orang awam dan warga asing untuk memasuki bangunan perpustakaan serta menggunakan perkhidmatan yang disediakan.”