Isu i-Citra: Saya tak terkesan dengan hinaan, makian, kata PM

Isu i-Citra: Saya tak terkesan dengan hinaan, makian, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus lebih utama ketika ini adalah terus bekerja menjaga kepentingan rakyat.

Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang tidak berpuas hati akan terus tidak berpuas hati dan yang memaki hamun akan terus membuat kerja mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak terkesan dengan kritikan dan makian di media sosial kerana tidak membenarkan mangsa banjir mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra.

Beliau berkata, fokusnya yang lebih utama kini ialah terus bekerja menjaga kepentingan rakyat.

“Yang tidak berpuas hati, akan terus tidak berpuas hati. Yang memaki hamun, akan terus membuat kerja mereka.

“Saya kerja, saya menjaga kepentingan rakyat dan tugas orang untuk memaki dan menghina melalui media sosial (berhubung i-Citra) itu tugasnya.

“Saya tidak terkesan, yang hendak hentam terserah kepada mereka. Ia tidak menyekat tugas saya untuk terus bertugas demi kepentingan rakyat,” katanya dipetik Utusan Malaysia selepas menyempurnakan Misi Bantuan Keluarga Malaysia bagi mangsa banjir Parlimen Temerloh di Lanchang, Pahang.

Semalam, Ismail dilaporkan berkata, kerajaan sedar kehidupan mangsa banjir buat beberapa bulan mendatang amat mencabar dan memerlukan sokongan semua untuk bangkit semula membina kehidupan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan komited memastikan bantuan yang bakal disalurkan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan disegerakan kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) dan ia merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan simpanan KWSP.

Dengan usaha itu, katanya, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5%, sekali gus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.