Rayuan akhir Rosmah gugurkan Sri Ram didengar Mac ini

Rayuan akhir Rosmah gugurkan Sri Ram didengar Mac ini

Isteri bekas Perdana Menteri itu membuat permohonan untuk menggugurkan peguam Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya ad-hoc dalam kes rasuahnya.

Rosmah Mansor berdepan tiga pertuduhan rasuah kerana didakwa meminta RM187.5 juta berkaitan projek panel solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. (Bernama pic)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Mac ini untuk mendengar rayuan akhir Rosmah Mansor untuk menggugurkan peguam Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya ad-hoc dalam kes rasuahnya dan membatalkan perbicaraan kes pada 24 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yin Tinn berkata, tarikh itu ditetapkan di hadapan Pendaftar Mahkamah hari ini.

“Buat masa ini, pendengaran akan dilakukan di mahkamah terbuka,” katanya.

“Bagaimanapun, pendakwaan akan meminta mahkamah mengendalikan pendengaran itu menerusi aplikasi Zoom.

Rosmah diwakili peguam Jagjit Singh.

Bulan lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah rendah yang menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram daripada kesnya dan mengisytiharkan perbicaraannya sebagai terbatal dan tidak sah.

Menurut mahkamah, ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan relief yang dipohon oleh Rosmah.

Sri Ram dalam mempertahankan pelantikannya sebagai pendakwa ad hoc memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan permohonan Rosmah bagi pengisytiharan untuk mengugurkannya daripada mengetuai pasukan pendakwaan dan membatalkan perbicaraan.

Beliau berkata mahkamah jenayah hanya boleh membebaskan, mensabitkan atau membatalkan pertuduhan kerana ia tidak berasas.

Kes rasuah Rosmah akan bersambung di Mahkamah Tinggi pada 10 Jan, manakala suaminya, Najib Razak dijadualkan untuk memberi keterangan.

Beliau berdepan tiga pertuduhan rasuah kerana didakwa meminta RM187.5 juta daripada ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek panel solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Rosmah juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.