
R Kengadharan turut mempersoalkan sama ada pasukan itu mempunyai kuasa untuk menyiasat isi kandungan buku bekas Peguam Negara itu.
“Hanya polis sahaja yang boleh memulakan siasatan dan saya difahamkan ia telah pun dilakukan. Ia akan menjadi langkah sia-sia sekiranya ia turut dilakukan pihak lain,” katanya kepada FMT.
Kengadharan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 24 Dis lalu bahawa pasukan petugas khas yang meneliti dakwaan dalam buku terbabit, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, telah mengadakan mesyuarat pertamanya sehari lebih awal.
Pasukan petugas khas yang diketuai Penasihat Undang-undang dan bekas Peguam Besar Sarawak Fong Joo Chung itu akan menghantar dapatannya dan cadangan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelantikan.
Kengadharan berkata, tidak ada gunanya pasukan petugas khas meneliti isi kandungan buku terbabit kerana siasatan seumpama itu “akan menyekat kebebasan bersuara rakyat seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan”.
Thomas, yang berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 20 bulan bermula Jun 2018, didakwa memfitnah dan menghina pelbagai pihak dalam buku berkenaan.
Antara yang membuat laporan polis terhadapnya ialah bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III Mohamad Hanafiah Zakaria.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pada Feb lalu bahawa polis menerima 134 laporan berhubung isi kandungan buku itu.
Katanya, kertas siasatan telah dibuka kerana dakwaan jenayah, fitnah jenayah, pelanggaran Akta Rahsia Rasmi dan kecenderungan untuk menghasut orang ramai di bawah Akta Hasutan.
Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo berkata, beliau dan seorang lagi peguam telah menemani Thomas ke balai polis tahun lalu untuk dirakam keterangan berhubung laporan itu.
“Thomas bekerjasama dengan polis tetapi kita tidak tahu apakah hasil siasatan,” katanya.
Kertas siasatan dirujuk kepada Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara untuk dibuat keputusan.