Ahli Parlimen rayu Agong ‘campur tangan’ isu Azam Baki

Ahli Parlimen rayu Agong ‘campur tangan’ isu Azam Baki

Salahuddin Ayub berkata, kerajaan Yang di-Pertuan Agong di bawah pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika ini sangat lemah.

Salahuddin Ayub dalam kenyataan di Twitter merayu kepada Yang di-Pertuan Agong campur tangan berhubung isu pembelian saham bernilai ratusan juta oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melakukan dan menyatakan sesuatu berhubung isu pembelian saham dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Timbalan Presiden Amanah itu berkata, kerajaan Yang di-Pertuan Agong di bawah pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika ini sangat lemah.

“Pengurusan bencana dan kini isu pembelian saham yang bernilai ratusan juta oleh KP (Ketua Pesuruhjaya) SPRM.

“Something is rotten in the state of Denmark (sesuatu yang tidak betul sedang berlaku),” katanya di Twitter.

Isu pemilihan saham itu tercetus pada 14 Dis lalu apabila Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah mendakwa Azam adalah pemilik lebih empat juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu beliau merupakan Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Tidak lama kemudian ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez, meletak jawatan sebagai ahli panel SPRM selepas mendakwa panel itu tidak memberi perhatian sewajarnya kepada tuduhan terhadap Azam.

Pada sidang medianya pada Rabu, Azam menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dengan membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau untuk membeli saham berkenaan.

Beberapa peguam dan Ahli Parlimen menggesa Suruhanjaya Sekuriti menyiasat sama ada Azam melanggar undang-undang pemilikan saham kerana membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangan sahamnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.