10 sekolah dekat tapak pelupusan sampah Pulau Burung diarah tutup

10 sekolah dekat tapak pelupusan sampah Pulau Burung diarah tutup

Buat permulaan, semua 10 sekolah termasuk dua sekolah menengah itu akan ditutup mulai esok sehingga 21 Jan ini.

Ahad lalu, 400 penduduk daripada 86 keluarga dilaporkan akan dipindahkan segera akibat pencemaran udara yang berpunca daripada kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Sepuluh sekolah yang berada berhampiran dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram yang terbakar sejak beberapa hari lepas diarah tutup selama tiga hari bermula esok.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, SJKT Ladang Changkat, SJKT Nibong Tebal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SK Nibong Tebal, SK Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong dan SMK Methodist.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad ketika dihubungi Bernama berkata, buat permulaan semua 10 sekolah termasuk dua sekolah menengah itu akan ditutup sehingga 21 Jan ini.

“Keputusan berikutnya (sama ada akan terus ditutup selepas tiga hari itu) akan dibuat selepas kami melihat perkembangan situasi kebakaran tersebut dari semasa semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Selatan (KPPDS) Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, keputusan penutupan 10 sekolah itu dibuat selepas mesyuarat Bencana Daerah yang diadakan semalam.

Mohamad Dziauddin berkata, keputusan itu diambil selepas mendapati indeks udara dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) termasuk sekolah tersebut berada pada tahap AEGL 3 (Acute Exposure Guidelines Level), iaitu kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.

“Hasil daripada keputusan mesyuarat tersebut, maka kami memberi kebenaran kepada 10 sekolah berkenaan untuk menutup sesi persekolahan dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada Sabtu ini tentang status operasi semula sekolah berdasarkan keputusan dan nasihat daripada Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengurusan sekolah diminta memaklumkan kepada guru-guru, ibu bapa, pengusaha kantin, pengusaha bas dan pihak-pihak lain yang berkaitan berhubung penutupan sekolah supaya tindakan persediaan awal dapat dibuat oleh pihak terlibat.

“Sepanjang tempoh penutupan operasi itu, pelajar dan murid akan mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan pihak sekolah turut diminta menyediakan petugas pada pagi esok (Rabu) bagi menguruskan murid sekiranya mereka hadir disebabkan tidak menerima maklumat penutupan ini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, warga sekolah diminta memakai pelitup muka, mengurangkan aktiviti luar dan sekiranya tidak sihat, segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.