
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan itu diserahkan kepada Bahagian Perundangan Polis, minggu lalu untuk tindakan lanjut.
“Kertas siasatan telah dimajukan kepada Bahagian Perundangan untuk mereka meneliti dan kaji hasil siasatan kita,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes gangguan seksual membabitkan ADUN itu.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, 11 individu telah memberikan keterangan membabitkan kes itu termasuk ADUN dan wanita tersebut.
Pada 17 Jan lalu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.
Laporan polis mengenai kes itu turut tular di media sosial dan wanita berkenaan mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.
Bagaimanapun, ADUN terbabit menerusi kenyataan baru-baru ini menafikan dakwaan itu dan berkata, ia adalah satu fitnah, konspirasi politik serta percubaan untuk menjatuhkan maruah beliau sebagai ahli politik.