Kebakaran tapak lupus sampah Pulau Burung padam selepas 20 hari

Kebakaran tapak lupus sampah Pulau Burung padam selepas 20 hari

Kejayaan itu dikongsikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican dalam catatan Facebook.

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebang, Pulau Pinang dilaporkan terbakar seluas 11.3ha pada 12 Jan lepas hingga menyebabkan kualiti udara di situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.
PETALING JAYA:
Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di Nibong Tebal, Pulau Pinang sejak 12 Januari lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

Kejayaan itu dikongsikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican dalam catatan Facebooknya.

“Alhamdulillah misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya,” katanya.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah berkenaan dilaporkan terbakar seluas 11.3ha hingga menyebabkan kualiti udara di situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.

Kelmarin, 98% kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan berjaya dipadamkan menandakan operasi pemadaman akan berakhir selepas tiga minggu kerja-kerja memadam kebakaran dijalankan.

Susulan kejadian kebakaran itu, kawasan berkenaan turut diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan penduduk dari dua kampung berdekatan tapak pelupusan sampah itu diarah mengosongkan kediaman mereka.

Semua penduduk terbabit berpindah ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka akibat kawasan kediaman mereka tercemar dengan udara tidak sihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.