
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim berkata, 10 lagi individu dikenal pasti, untuk dipanggil bagi memberi keterangan dalam siasatan kes itu.
“Siasatan dijangka mengambil masa dua minggu bermula minggu ini, dan kesemua individu yang dipanggil ini terdiri daripada ahli lembaga pengarah, dan pegawai-pegawai kanan MARA.
“Ini untuk kita tahu sama ada pemberian elaun seperti yang didakwa, mendapat kebenaran ahli lembaga pengarah atau tidak,” katanya kepada Bernama hari ini.
Hishamuddin berkata, pihaknya juga mendapat semua dokumen diperlukan semasa serbuan ke atas Ibu Pejabat MARA dan MARA Corporation, serta syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas.
Semalam, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, tujuh individu selesai memberi keterangan bagi siasatan kes itu.
Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.