
Katanya, ini adalah soal status dan gelaran baharu berkenaan tidak akan membawa pulangan kewangan kepada penyandangnya.
Beliau menambah, gelaran “Premier” bukanlah benar-benar asing memandangkan pemimpin kerajaan negeri di Australia turut menggunakan gelaran sama.
“Australia juga (negara) bersekutu sama seperti kita, dengan seluruh negaranya mempunyai kerajaan dan Parlimen persekutuan, serta kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Tambahnya, sebarang keputusan yang dianggap tepat oleh kerajaan Sarawak, termasuk keputusan penukaran gelaran tersebut, tidak sepatutnya menjadi isu selagi perkara itu diluluskan di DUN.
Wan Junaidi berkata, satu-satunya isu kecil yang akan timbul adalah perkataan Melayu untuk gelaran baharu itu. Kerajaan negeri mungkin perlu berunding dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam hal ini, tambahnya.
Beliau menegaskan, ini bukan sekadar perubahan kosmetik kerana ia melibatkan status rakyat Sarawak.
Penukaran gelaran itu akan dibuat dalam pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan di DUN hari ini. Rang undang-undang itu turut mencadangkan gelaran “Menteri Muda” ditukar kepada “Timbalan Menteri”.
Cadangan ini dibuat beberapa hari selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menetapkan semula Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang setara dengan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia pada 1963.
Bagaimana dengan penurunan kuasa, soal peguam

Bagaimanapun, peguam Simon Siah, yang berpangkalan di Sarawak berkata, penukaran gelaran itu sendiri tidak perlu dihebohkan namun beliau juga ingin tahu bagaimana gelaran “Premier” akan diungkapkan dalam Bahasa Melayu.
Katanya, lebih penting ialah rang undang-undang lain yang akan dicadangkan di Parlimen untuk memberi lebih banyak kuasa kepada negeri-negeri Borneo dan berapa ramai Ahli Parlimen Semenanjung akan menyokongnya.
“Untuk mengetahui implikasinya, kita mungkin perlu lihat keadaan yang berlaku di peringkat persekutuan, sama ada akan berlaku lebih banyak penurunan kuasa persekutuan kepada Sarawak.
“Jadi melainkan Parlimen meminda ‘senarai persekutuan dan negeri’ untuk menurunkan lebih banyak kuasa kepada Sarawak, saya tidak nampak perbezaan besar dengan menukar gelaran,” katanya.