
BERSIH berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti membentangkan rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan pada sesi Parlimen akan datang dan memastikan ia diluluskan selepas mempertimbangkan input Ahli Parlimen, pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai.
Katanya, ini adalah salah satu terma penting dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Ismail dengan Pakatan Harapan (PH).
Ia mengakui bahawa ini adalah “isu yang kompleks dengan pelbagai tafsiran, perundangan, pertimbangan antara parti dan pilihan raya” dan penyelesaian sempurna “hampir mustahil”.
Bagaimanapun menurutnya, perbuatan yang akan dianggap sebagai lompat parti pada asasnya adalah seorang wakil rakyat meninggalkan partinya untuk menyertai parti lain atau menjadi anggota bebas dan wakil bebas yang menyertai parti politik.
“(Juga apabila) wakil rakyat meletakkan jawatan secara sukarela daripada parti dan/atau kerusi atau dipecat oleh partinya.
“Sekiranya perkara di atas terjadi, kerusi mereka akan diisytiharkan kosong secara automatik dan pilihan raya kecil akan berlangsung,” katanya.
BERSIH berkata, walaupun ia lebih cenderung kepada undang-undang antilompat parti melalui prosedur pecat, ia akan menyokong penggubalan RUU yang dicadangkan itu tetapi berharap Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan dimansuhkan.
“Ini akan membolehkan seorang wakil rakyat meninggalkan partinya atas dasar prinsip dan bertanding di kerusi yang sama untuk mendapatkan mandat baharu daripada pengundi,” katanya.
Menurut Perkara 48(6), seorang wakil rakyat yang meletak jawatan dihalang bertanding selama lima tahun.
BERSIH juga berkata, negeri-negeri harus diberi kebebasan untuk menggubal undang-undang sendiri berhubung insiden lompat parti.
Baru-baru ini, Wan Junaidi berkata, walaupun undang-undang antilompat parti penting bagi memastikan keyakinan dan tadbir urus yang baik, tidak ada kata sepakat mengenai istilah “lompat parti”.
PH juga dilaporkan memberitahu kerajaan bulan lepas bahawa MoU yang ditandatangani akan diisytiharkan terbatal jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.