Pegawai SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan selepas mengaku salah guna wang rampasan AS$6.94 juta

Pegawai SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan selepas mengaku salah guna wang rampasan AS$6.94 juta

Shahrum Nizam Baharuddin didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta dengan curang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan pilihan menyalahgunakan harta dengan curang berjumlah AS$6.94 juta yang dirampas agensi itu dalam kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrum Nizam Baharuddin, 41, selepas dia membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan yang lebih ringan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dihukum dua kali sebatan dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikhnya ditangkap iaitu pada 13 Sep 2021.

Shahrum sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah jenayah namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan yang lebih ringan.

Dia melakukan kesalahan itu antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Shahrum kini ditempatkan di Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Ketika mitigasi, peguamnya, Ahmad Hafiz A Bakar memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya menyesal atas perbuatan yang dilakukan.

“Dia berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

“Kami harap mahkamah boleh menjatuhkan hukuman yang minimum bagi membolehkannya memulakan hidup baharu selepas tamat tempoh hukuman,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang bersifat pencegahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.