
Katanya, jaminan itu diberikan dalam pertemuan Ismail bersama beliau, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Parlimen hari ini.
Bulan lalu, Pakatan Harapan (PH) memberitahu kerajaan bahawa memorandum persefahaman (MoU) antara dua pihak itu akan “dibatalkan secara automatik”, jika RUU antilompat parti tidak dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat seterusnya.
Dalam pertemuan hari ini bersama Perdana Menteri, Anwar berkata, pemimpin parti pembangkang mencadangkan kelonggaran diberikan kepada prosedur operasi standard bagi memudahkan kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.
“Kami juga mengulangi pendirian berhubung penjelasan beliau di Parlimen pagi tadi berkaitan peranan dan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak tanpa bersikap selektif (dalam pendakwaan),” katanya di Facebook.
Terdahulu, Ismail hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan komited sepenuhnya untuk menangani rasuah dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih.
Beliau membangkitkan pelbagai kes rasuah yang sedang berjalan di mahkamah melibatkan pemimpin politik ketika menjawab dakwaan Anwar bahawa penurunan kedudukan Malaysia sebanyak lima anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International disebabkan kerajaan tiada kesungguhan menangani isu berkenaan.
Beliau berkata, individu yang terlibat rasuah sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan dihadapkan ke mahkamah yang akan menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak.