Dakwaan MCA ganggu ceramah PH, Wee sifatkan DAP ‘penipu besar’

Dakwaan MCA ganggu ceramah PH, Wee sifatkan DAP ‘penipu besar’

Presiden MCA berkata, Teresa Kok dan Ngeh Koo Ham sengaja membuat tohmahan bagi alih isu Teresa 'caci' polis.

Wee Ka Siong mencabar Teresa Kok dan Nge Koo Ham menunjukkan bukti tuduhan yang dilemparkan dan beliau juga sedia menunjukkan bukti bagi menafikan dakwaan mereka.
YONG PENG:
Presiden MCA, Wee Ka Siong membidas tindakan dua pemimpin DAP yang menyalahkan partinya yang didakwa mengganggu satu ceramah Pakatan Harapan (PH) di Yong Peng baru-baru ini.

Sambil menafikan dakwaan itu dan menyifatkan Teresa Kok dan Ngeh Koo Ham sebagai ‘penipu besar’, Wee mendakwa pemimpin DAP itu sengaja membuat tohmahan bagi mengalihkan isu mereka ‘mencaci’ polis.

“Saya rasa ini satu tomahan dan tipu helah yang tidak bertanggungjawab. Mereka ini ‘penipu besar’. Mereka ini caci polis dan cari satu kaedah untuk alihkan (isu itu),” katanya ketika ditemui FMT hari ini di Pejabat Khidmatnya di Yong Peng.

Terdahulu, Kok mendakwa pihak berkuasa menolak permohonannya melanjutkan tempoh ceramah PH di Batu Pahat selama 30 minit hanya kerana mereka adalah pembangkang.

Katanya, beliau merayu polis memberikan masa tambahan 30 minit kerana ceramah PH diganggu tarian singa anjuran penyokong MCA dan Barisan Nasional (BN) bersebelahan mereka, tetapi permohonan itu ditolak.

Pada 28 Feb lalu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang menyiasat klip video menunjukkan Kok didakwa mengeluarkan ugutan terhadap polis: “Bila kita jadi kerajaan semula, kamu tahulah nanti” dalam bahasa Cina menerusi ceramah pada 26 Feb.

Ngeh pula berkata, ceramah PH mendapat kebenaran dari 8 hingga 10 malam, namun bunyi gendang dan simbal tarian singa daripada program MCA amat kuat sehingga menyebabkan ceramah PH tidak dapat dimulakan mengikut jadual.

Dalam pada itu, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menafikan terdapat persembahan tarian singa yang lama sehingga mengganggu ceramah PH.

Beliau berkata tarian singa itu hanya 30 saat bagi menyambut kedatangannya di sebuah majlis yang bukan anjuran MCA atau BN.

Tegasnya, majlis berkenaan dianjurkan di sebuah restoran di kawasannya dan dihadiri atas jemputan sebagai Ahli Parlimen oleh sebuah kelab rekreasi.

“Bukan saya minta (untuk) jemput saya. Mereka jemput saya dan hantar jemputan kepada saya dua hari sebelum Raya Cina lagi.

“Kebetulan pusat khidmat dia (PH) berdekatan dengan restoran itu. Takkan nak buat tarian singa sampai satu jam. Sekadar masuk 30 saat sahaja itu sahaja. Selepas itu ucapan, itu sahaja. Selepas itu saya balik,” katanya.

Wee turut mencabar dua pemimpin DAP itu menunjukkan bukti tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan belia sedia menunjukkan bukti bagi menafikan dakwaan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.