
Khairy berkata, vaksin Covid-19 sangat berkesan melindungi semua daripada kesan paling buruk seperti kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian.
Katanya, walaupun kes naik mendadak hampir 30,000 ketika ini, namun kes yang dikategorikan sebagai serius hanya meningkat sedikit.
“Terkini, setiap 100,000 kes, hanya 200 meninggal dunia. Sebab itu strategi kita sekarang mesti melindungi mereka yang paling berisiko tinggi seperti warga emas,” katanya di Twitter.
Beliau turut berkongsi statistik kematian per 100,000 populasi mengikut status vaksinasi, iaitu tidak divaksinasi, lengkap divaksinasi dan lengkap dos penggalak dengan penerima dos penggalak merekodkan kurang 20 kes kematian berbanding lain.
Katanya, data kematian sehingga 28 Feb juga menunjukkan 91% yang meninggal dunia akibat Covid-19 belum mengambil dos penggalak dan mempunyai komorbid serta kematian tertinggi direkodkan dalam kalangan individu berusia lebih 80 tahun.
Khairy berkata, sebanyak 91% melibatkan kes kematian di luar hospital disahkan positif Covid-19 selepas meninggal dunia.
“Jumlah kematian di luar hospital (BID) mula meningkat semula. Daripada 113 BID yang dianalisa (5-21 Feb), hanya 9% mengetahui status jangkitan Covid-19. 91% disahkan positif selepas meninggal dunia,” jelasnya.
“Ramai waris kata mereka anggap sakit ringan sahaja.”
Justeru, beliau menggesa golongan berisiko tinggi, iaitu warga emas yang mempunyai komorbid serius mendapatkan dos penggalak segera.
“Keluarga/komuniti juga diminta pantau keadaan kesihatan warga emas. Kalau demam atau batuk sikit pun, bawa jumpa doktor. Tolong,” katanya.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 115 kes kematian Covid-19 semalam, dengan 27,500 kes baharu merangkumi 27,072 penularan tempatan dan 428 kes import.