
Dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, R Sivarasa (PH-Sungai Buloh), merujuk kepada beberapa negeri yang masih mengekalkan enakmen membenarkan penukaran agama unilateral, walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018, memutuskan perkara itu memerlukan persetujuan ibu dan bapa.
“Kerajaan (persekutuan) adalah bertanggungjawab, kita tak boleh tutup mata tak buat apa-apa biar perkara ini berlarutan, dan ini jadi isu, emosi. Kerajaan bertanggungjawab kena bertindak.
“Saya cadangkan panggil wakil negeri, pemimpin negeri terlibat, runding macam mana nak selesai.
“Kita tak boleh teruskan macam mana undang-undang ini bercanggah di peringkat persekutuan dan negeri. Dan, kalau perlu kerajaan persekutuan pergi ke mahkamah, buat permohonan kes di mahkamah persekutuan,” katanya.
Isu berhubung penukaran agama unilateral membabitkan kanak-kanak bawah umur mendapat perhatian susulan kes ibu tunggal Loh Siew Hong, yang membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi, bagi mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya, yang menukar agama dengan persetujuan bapa mereka, tanpa mendapat persetujuan Loh.
Buruh paksa
Berhubung isu buruh paksa, Sivarasa mengemukakan persoalan kepada Kementerian Sumber Manusia bagi menyediakan kemas kini terbaru membabitkan penyiasatan terhadap syarikat Malaysia, yang mana produk mereka diletakkan bawah perintah pelepasan penangguhan (WRO) oleh Kastam dan Peronda Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.
Pihak kementerian itu sebelum ini berkata pada 30 Jan, pihaknya akan menghubungi semua syarikat yang berdepan larangan import yang disyaki menggunakan buruh paksa, bagi membincangkan tindakan segera dalam menangani dakwaan ditimbulkan.
Sivarasa mahu pihak kementerian berkenaan memberi garis panduan kepada Dewan Rakyat berhubung pendekatan yang akan diambil bagi menamatkan penggunaan buruh paksa, sambil mengatakan imej negara sudah tercalar.