Siasatan ke atas suami Zeti diteruskan sebaik rentas sempadan dibenar, kata Bukit Aman

Siasatan ke atas suami Zeti diteruskan sebaik rentas sempadan dibenar, kata Bukit Aman

Pengarah JSJK Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata peningkatan kes Covid-19 akibat varian Omicron di Malaysia dan Singapura mengganggu perkembangan siasatan kes itu.

Suami bekas Gabenor Bank Negara, Tawfiq Ayman disiasat berhubung dana berkaitan 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun bank miliknya.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan pihaknya sedang menunggu lampu hijau daripada rakan sejawat di Singapura untuk merentas sempadan bagi meneruskan siasatan dakwaan rasuah terhadap Tawfiq Ayman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata, peningkatan kes Covid-19 akibat varian Omicron di Malaysia dan Singapura mengganggu perkembangan siasatan kes berkenaan.

“Kita akan pergi apabila mereka memberi kebenaran untuk merentasi sempadan,” kata Kamarudin.

Pada Mac tahun lalu, polis dilaporkan memulakan siasatan terhadap dana berkaitan 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun bank milik Tawfiq di Singapura.

Ketika ditanya sama ada terdapat anggaran masa untuk diberi kebenaran itu, Kamarudin berkata, polis tidak dapat memberikan tarikh dan ia bergantung kepada rakan sejawat di Singapura.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa siasatan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz itu akan diteruskan segera sebaik keadaan mengizinkan.

Pada Selasa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata, polis sepatutnya meneruskan siasatan itu di Singapura tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan penutupan sempadan Malaysia-Singapura.

Polis Singapura dilaporkan telah memaklumkan kepada BNM mengenai transaksi mencurigakan pada 2015 dan 2016 membabitkan sebuah syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.