AS masih tak jelaskan kesalahan Sime Darby, kata Saravanan berhubung isu buruh paksa

AS masih tak jelaskan kesalahan Sime Darby, kata Saravanan berhubung isu buruh paksa

Menteri Sumber Manusia itu berkata siasatan mendapati tiada sebarang pelanggaran buruh paksa dibuat Sime Darby Plantation Berhad.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, siasatan mendapati tiada sebarang pelanggaran berkaitan buruh paksa yang dilakukan oleh SDP berdasarkan 11 petunjuk yang digariskan oleh kementerian dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
KUALA LUMPUR:
Amerika Syarikat (AS) tidak pernah memberikan penjelasan secara terperinci mengenai kesalahan yang dilakukan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) selepas minyak sawit keluaran syarikat itu disekat kerana didakwa terlibat dengan amalan buruh paksa.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, siasatan mendapati tiada sebarang pelanggaran berkaitan buruh paksa yang dilakukan oleh SDP berdasarkan 11 petunjuk yang digariskan oleh kementerian dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Sehingga hari ini, agensi di AS tak pernah maklumkan kepada kita di mana kesalahannya. Apabila kita siasat mengikut 11 petunjuk di bawah kesalahan buruh paksa, (mendapati) tiada kesalahan dan kita telah minta penjelasan daripada AS untuk maklumkan apakah kesalahan (oleh SDP).

“…. kerana apa yang mereka lihat jauh berbeza dengan apa yang kita lihat. Contoh di Sabah dan Sarawak menggaji pekerja Indonesia, rumah pekerja di ladang kelapa sawit tetapi mereka (majikan) tidak menyediakan rumah asuhan untuk anak-anak mereka jadi bila bekerja memandangkan tiada siapa nak jaga anak mereka, anak-anak ikut ke tempat kerja.

“Ini bukan bererti anak datang untuk bekerja tetapi di pihak AS, ia dilihat sebagai buruh kanak-kanak,” katanya yang menjawab soalan Sivarasa (PH-Sungai Buloh) yang mahu tahu hasil siasatan amalan buruh paksa oleh AS terhadap SDP.

Sebelum ini CBP mengenakan sekatan terhadap minyak sawit dan produk lain yang dikeluarkan SDP dan anak syarikatnya kerana didapati mempunyai 11 petunjuk buruh paksa yang ditetapkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).

CBP pada masa sama memaklumkan kepada pegawainya di semua pelabuhan masuk AS untuk menahan minyak sawit dan sebarang produk yang mengandungi minyak sawit yang dihasilkan oleh Sime Darby dan entiti berkaitan di Malaysia.

Bagaimanapun Saravanan berkata, terdapat kesalahan dikesan di bawah Seksyen 13 (2) Akta Pampasan Pekerja 1952, iaitu gagal melaporkan kemalangan pekerja asing di pejabat JTK dalam tempoh 10 hari dari tarikh kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.