PRN Johor: 8 kerusi ‘panas’ tarik perhatian

PRN Johor: 8 kerusi ‘panas’ tarik perhatian

Tiga penganalisis politik jadi juri pilihan raya FMT, kongsikan unjuran terhadap beberapa kawasan yang dipertandingkan.

Juri pilihan raya FMT: Azmi Hassan, Oh Ei Sun dan Awang Azman Pawi.
JOHOR BAHRU:
Dalam pada warga Johor keluar mengundi hari ini, ramai pemerhati menjangkakan Barisan Nasional (BN) mampu meraih satu lagi kemenangan besar, empat bulan selepas kejayaannya di Melaka.

Peratusan pengundi rendah – dilihat lebih disebabkan rasa ‘letih’ dengan keadaan politik dan bukannya kerana wabak Covid-19 semata-mata – mengakibatkan kerugian besar untuk Pakatan Harapan (PH) di Melaka, dengan nasib sama menyusuli di Sarawak sebulan kemudiannya.

Kini persoalan utama adalah sama ada satu daripada tiga gabungan BN, PH atau Perikatan Nasional (PH), mahupun Pejuang yang akan membentuk kerajaan negeri Johor seterusnya.

Jawapannya mungkin dapat dibayangkan dalam lapan kerusi panas negeri itu.

Penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya masing-masing berkongsi unjuran mereka mengenai pihak yang mungkin bakal meraih kemenangan di lokasi-lokasi ini.

Gambir

Keputusan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2018 mengejutkan segelintir pihak. Bekas ahli Exco Solihan Badri dari PN sebaliknya akan berdepan calon BN, Shahrihan Jani; Naim Jusri dari PKR; dan calon Pejuang Suraya Sulaiman di situ. Pada 2018, Muhyiddin memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,088. Walaupun ia kawasan Melayu, hampir 40% pengundi adalah dari masyarakat Cina seterusnya cukup kuat untuk mempengaruhi siapa yang mampu memenangi kerusi Gambir.

Pendapat penganalisis:
Azmi: BN
Oh: PKR
Awang Azman: BN

Perling

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong akan berusaha keras mengekalkan pegangan DAP di kawasan ini susulan kemenangan besar PH dengan majoriti 19,533 pada 2018. Selepas beberapa kekalahan mengejut parti itu di beberapa kerusi ketika PRN Melaka dan Sarawak, Liew kini menggalas tanggungjawab memastikan Perling terus dikuasai partinya, apatah lagi beliau adalah Ketua DAP Johor. Satu perkara yang mungkin membimbangkan buat Liew adalah sambutan hebat yang telah diberikan kepada Najib Razak oleh masyarakat Cina ketika pemimpin itu berkempen untuk calon BN, Tan Hiang Kee, minggu lalu. Calon PN, Khoo Siaw Lee dari Gerakan turut bertanding di kawasan ini, yang mempunyai pecahan sekata antara pengundi Melayu dan Cina.

Pendapat penganalisis:
Azmi: PH
Oh: PH
Awang Azman: 50-50 PH/BN

Larkin

Pertembungan antara Rasid Abu Bakar dari MUDA dengan calon PKR, Dr Zamil Najwah Arbain di kerusi bandar dengan majoriti penduduk Melayu ini pasti dinanti-nantikan, manakala calon BN Md Hairi Md Shah serta Zulkifli Bujang dari PN turut berharap mengambil kesempatan dengan perpecahan undi pembangkang. Calon Pejuang Mohamad Riadz Mohamad Hashim dan seorang calon bebas juga akan bertanding untuk kerusi ini. Kesemua enam calon ini adalah wajah baru dan muda, termasuk Zulkifli yang juga bekas wartawan dan pernah menjadi pegawai Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Kerusi itu dimenangi Bersatu atas tiket PH pada 2018.

Pendapat penganalisis:
Azmi: BN
Oh: 50-50 MUDA/PKR
Awang Azman: 50-50 PKR/BN

Kempas

Pertembungan tujuh penjuru menanti di Kempas, yang antara lain melihat Nornekman Osman, anak Allahyarham Osman Sapian, berharap untuk meneruskan usaha ayahnya di kawasan itu, walaupun menggunakan tiket Pejuang. Saingannya memang sengit: Ramlee Bohani dari BN; Faizal Abdullah (PN); dan Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis; selain tiga calon bebas. Osman yang menjadi Menteri Besar Johor selama 11 bulan, telah menang dengan majoriti kukuh 9,178 pada 2018 atas tiket PH. Majoriti pengundi di situ adalah Melayu, namun juga mempunyai masyarakat Cina yang besar.

Pendapat penganalisis:
Azmi: 50-50 PN/PKR
Oh: 50-50 Pejuang/BN
Awang Azman: BN

Bukit Kepong

Bekas Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal memenangi kerusi ini pada 2018 atas tiket PH dengan majoriti hanya 1,273 undian. Beliau kali ini berusaha mengekalkan sokongan pengundi di bawah bendera PN dalam perlawanan empat penjuru menentang Taib Md Suhut (Pejuang), Nurafiqah M Zulkifl (MUDA) dan Ismail Mohamed (BN). Antara tiga calon itu, Ismail dilihat sebagai saingan paling sengit untuk Sahruddin. Ismail dikenali penduduk setempat kerana menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di situ dari 2013 hingga 2018 ketika ia dikenali sebagai Bukit Serampang. Beliau tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU14 kerana melawan Muhyiddin di kawasan Parlimen Pagoh.

Pendapat penganalisis:
BN menang

Machap

Calon BN, Abd Taib Abu Bakar memenangi kerusi ini dengan majoriti 404 undian pada 2018, namun kali ini giliran bekas exco belia negeri Onn Hafiz Ghazi mengejar kemenangan lebih besar untuk parti itu. Beliau berdepan calon PN, Azlisham Azahar; R Sangaran (MUDA) dan bekas Timbalan Menteri, Shahruddin Salleh (Pejuang). Shahruddin, Ahli Parlimen Sri Gading, juga adalah Ketua Pejuang Johor seterusnya menggalas tanggungjawab besar memacu parti itu dalam pilihan raya sulung disertainya.

Pendapat penganalisis:
BN menang

Layang-Layang

Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyasarkan kemenangan di sini dalam pilihan raya pertama disertainya sebagai calon PKR. Maszlee yang sebelum ini menganggotai Bersatu dan Pejuang, mempunyai peluang tinggi jika dilihat pada majoriti tipis hanya 364 undian diperoleh Onn Hafiz pada 2018. Pertandingan empat penjuru ini turut melihat calon BN, Haji Mutalif Rahim; Alagathiran Krishnan dari PN; dan calon Pejuang Ahmad Shafiq Othaman. Satu perkara yang mungkin membimbangkan untuk Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, adalah kegagalan PKR memenangi sebarang kerusi di Melaka dan Sarawak.

Pendapat penganalisis:
Azmi: Persaingan terlalu sengit
Oh: PKR
Awang Azman: 50-50 PKR/BN

Semerah

Kerusi Semerah dimenangi Khuzzan Abu Bakar dari PKR dengan majoriti 98 pada 2018. Beliau kini berdepan perlawanan lima penjara dengan calon BN, Mohd Fared Md Khalid; Ariss Samsudin (PN); Mahdzir Ibrahim (Pejuang) dan calon tunggal dari Putra, Kamarolzaman Mohd Jidi. Memandangkan 71% pengundi pada 2018 adalah Melayu, esok akan menentukan sejauh mana Khuzzan mampu mengekalkan sokongan mereka – faktor yang dilihat menjadi kelemahan besar PH dan PKR, terutama selepas Langkah Sheraton.

Pendapat penganalisis:
BN menang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.