
Sanusi berkata, terma “berhenti sementara” yang diguna pakai Khairuddin, bekas Setiausaha Majlis Syura, tidak wujud dalam perlembagaan PAS.
“Mana boleh berhenti nak masuk balik, siapa nak bagi masuk, berhenti sementara tak ada dalam perlembagaan.
“Saya pun nak gelak ka nak teriak (menangis)…nak berhenti sat (sementara) lepas itu nak masuk balik..tak boleh,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Kelmarin, Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengumumkan keluar PAS. Sebab beliau meninggalkan parti yang disertainya sejak 30 tahun lalu tidak dinyatakan, namun dipercayai ada kaitan keputusan kepimpinan dalam pembentukan Perikatan Nasional (PN).
Sanusi berkata, mana-mana individu yang mahu “bermain” politik perlu berjiwa kental.
“Kadang-kadang ada orang ingat dia orang pandai, itu yang masalah…dia seorang pandai, orang lain tak reti (tahu). Sebenarnya, keputusan kolektif lebih baik daripada pandangan satu orang. Masalahnya, apabila satu orang itu dia lebih betul daripada pandangan ramai,” katanya.
Beliau turut mengkritik tindakan Khairuddin muncul di televisyen membicarakan keputusannya meninggalkan PAS.
“Tak perlu buat benda-benda masuk TV, keluar PAS cukuplah tak bersetuju dan menentang keputusan kepimpinan, hang (anda) sudah terkeluar daripada PAS. Pakai niat sahaja tak mahu patuh, tak mahu ikut kepimpinan PAS, (sudah) terkeluar daripada PAS,” katanya.
Ketum
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang bagi membenarkan daun ketum dieksport ke luar negara bagi tujuan perubatan disebabkan harganya yang tinggi.
“Tapi kena ada peraturan dia lah. Dikatakan Kedah adalah tanah paling sesuai untuk pertumbuhan dan pembesaran spesis ketum paling baik untuk perubatan yang sudah diusahakan di Thailand.”
Katanya, permintaan tinggi daun ketum di negara ini menyebabkan harganya mencecah sehingga RM30 sekilogram.
“Sampai di sempadan RM100 (sekilogram), sampai di tempat proses di Thailand, RM150 sekilo, patut la orang pulun seludup,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menerusi agensi keselamatan menggunakan sumber yang banyak semata-mata untuk membanteras penyeludupan daun ketum.