Pelanjutan MoU akan jejas momentum Umno, kata penganalisis

Pelanjutan MoU akan jejas momentum Umno, kata penganalisis

Jelas bahawa PH perlu 'melengahkan masa' kerana prospek mereka untuk memenangi PRU15 sekarang tidak begitu baik, kata Jeniri Amir.

Pelanjutan MoU antara PH dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob dikatakan akan menjadi ancaman kepada Umno yang sedang menikmati momentum daripada kemenangan besar pada PRN baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pelanjutan persefahaman politik antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob akan mengancam prospek Umno pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata penganalisis.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara dan felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, pelanjutan memorandum persefahaman (MoU), seperti yang dicadangkan oleh Setiausaha Penganjur DAP Loke Siew Fook, akan memberi masa kepada PH untuk menguruskan diri mereka.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, PH menggunakan MoU untuk “membunuh” parti itu.

Pelanjutan MoU itu menjadi ancaman kepada Umno “kerana mereka merasakan PRU perlu diadakan segera untuk memanfaatkan momentum semasa dari Melaka dan Johor”, yang menyaksikan parti itu memperoleh kemenangan penentu dalam pilihan raya negeri (PRN), kata Azmi.

Katanya, beliau melihat gesaan untuk melanjutkan MoU itu sebagai satu cara untuk mengelak pembubaran Parlimen yang akan mencetuskan PRU15, berbanding “menstabilkan keadaan politik”.

“Jika MoU dilanjutkan dan PRU15 diadakan tahun depan, momentum Barisan Nasional (BN) mungkin tidak berkekalan. Dan menjelang itu, PH, Pejuang, MUDA dan Warisan akan menerima hakikat bahawa mereka perlu bekerjasama.”

“Kita harus ingat bahawa menjelang akhir tahun ini, pemilihan Umno perlu diadakan. Ini akan memberi kesan negatif kepada mana-mana parti menjelang PRU,” katanya kepada FMT.

Jeniri berkata, jelas bahawa PH perlu “melengahkan masa” kerana prospek mereka untuk memenangi PRU15 sekarang tidak begitu baik.

“Berdasarkan prestasi BN dalam dua pilihan raya lepas, sentimennya menentang PH, sebab itu mereka mahu MoU dilanjutkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, memandangkan Umno berhasrat mengukuhkan semula kuasanya, ia harus mengambil kira cadangan DAP untuk melanjutkan MoU.

“Jadi bak kata Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan), ‘strike while the iron is hot’, ini peluang untuk mereka menang pada PRU. Melihat prestasi mereka di Melaka dan Johor, jika PRU diadakan tidak lama lagi, ia akan menguntungkan BN.”

Pada Rabu, Mohamad menggesa PRU diadakan tahun ini atas alasan pembangkang sedang berpecah dan lemah selepas kekalahan teruk pada PRN Melaka, Sarawak dan Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.