
Kejadian itu disedari beberapa keluarga yang datang membersihkan kawasan perkuburan nenek moyang dan ahli keluarga mereka sempena hari Ching Ming pada Ahad lalu.
Pengerusi Persekutuan Persatuan Kubur-kubur Cina Bahagian Sibu, Teo Boon Siew berkata, kejadian aneh itu dipercayai berlaku kira-kira seminggu lalu.
“Semuanya ada tujuh kubur yang dipecahkan kerana kubur di sini tidak ditanam dalam tanah dan hanya dimasukkan ke dalam lubang yang ditutup menggunakan simen dan bata.
“Kami juga mendapati keranda dari kubur berkenaan diseret keluar dan dibakar di semak berhampiran. Kami tidak tahu apa motif sebenarnya individu terbabit berbuat demikian,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Teo berkata, kesan keranda dibakar dijumpai di semak berhampiran, tetapi rangka atau tulang si mati tidak ditemui.
“Kita percaya mereka yang menjalankan kegiatan ini hanya mahukan tulang si mati. Kenapa saya kata begitu, sebab tiada langsung satu tulang dijumpai.
“Mungkin mereka mengumpul tulang si mati untuk kegunaan sesuatu, tetapi kita tidak tahu apa motifnya mereka berbuat demikian.”
Beliau mengecam tindakan itu yang dianggap tidak menghormati orang sudah meninggal dunia dan mengesyaki pelaku adalah individu berpengalaman mengenai selok-belok urusan pengebumian.
Katanya, semua ahli keluarga terbabit membuat laporan di Balai Polis Sungai Merah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Collin Babat mengesahkan menerima empat laporan pada Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh tanah perkuburan.