Harga kawalan ayam terlalu rendah, kata kumpulan peniaga

Harga kawalan ayam terlalu rendah, kata kumpulan peniaga

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Jeffrey Ng, berkata harga siling RM8.90 sekilogram yang ditetapkan adalah terlalu rendah.

Baru-baru ini seorang peniaga didenda RM500 kerana menjual ayam melebihi harga kawalan RM8.90 sekilogram. Dia berkata harga kosnya adalah RM8.70 sekilogram.
PETALING JAYA:
Tindakan denda yang dikenakan ke atas peniaga ayam kerana melanggar harga kawalan hanya akan memaksa mereka keluar dari pasaran, kata penasihat persatuan ternakan.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Jeffrey Ng, berkata harga siling RM8.90 sekilogram yang ditetapkan adalah terlalu rendah.

Katanya, terdapat “banyak yang bertukar tangan” dalam rantaian bekalan. “Apabila sampai kepada peniaga, harga siling RM8.90 masih tidak dapat dikekalkan.”

Katanya, tindakan denda itu hanya memburukkan lagi keadaan industri.

Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang peniaga yang didenda RM500 kerana menjual ayam melebihi harga kawalan RM8.90, mengeluh apabila dia hanya boleh memperoleh keuntungan tidak seberapa iaitu 20 sen sekilogram kerana kosnya ialah RM8.70.

Ng berkata beliau tahu lebih daripada 30 ladang ayam tidak lagi beroperasi kerana masalah bekalan.

Katanya, harga siling itu ditetapkan sebelum Rusia menceroboh Ukraine, yang mana ia menjejaskan bekalan pertanian.

“Perang itu melibatkan Belarus, Ukraine dan Rusia, yang menjadi pengeksport terbesar minyak matahari, jagung, kacang soya, gandum (digunakan dalam dedak ayam). Tambahan pula, Ukraine, Belarus dan Russia adalah pengeksport ayam kelapan, kesembilan dan kesepuluh terbesar,” kata Ng.

Harga minyak sawit, yang menjadi bahan utama dalam dedak ayam telah meningkat melebihi RM7,000 satu tan.

Peniaga ayam Hamzah Abdullah yang berniaga di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur, berkata dia hanya boleh terus berniaga dengan menjual produk lain.

“Saya juga menjual makanan sejuk beku dan daging lain,” katanya.

Dia menggesa kerajaan mencari alternatif lain untuk menangani masalah kekurangan bekalan ayam.

“Kementerian bertanggungjawab harus menggunakan tanah kosong dan membenarkan penduduk kampung yang menganggur untuk menternak ayam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.