PKR sinonim dengan Anwar, bukan tandus calon presiden, kata penganalisis

PKR sinonim dengan Anwar, bukan tandus calon presiden, kata penganalisis

Dengan kemenangan tanpa bertanding Anwar Ibrahim perlu memberi persepsi kepada rakan sekutu di luar PKR beliau mampu membawa perubahan dalam PRU.

Kemenangan Anwar Ibrahim tanpa bertanding bukan kerana ketandusan kepimpinan dalam PKR tetapi kerana beliau dan perjuangan PKR sinonim, menurut Azmi Hassan.
PETALING JAYA:
Kemenangan Anwar Ibrahim sebagai presiden tanpa sebarang pencabar dalam pemilihan kali ini tidak bermakna PKR ketandusan pemimpin untuk diangkat bagi mengisi jawatan nombor satu itu, kata penganalisis politik.
Awang Azman Pawi.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berpandangan, kemenangan Anwar membuktikan beliau masih relevan dan dakyah kononnya ahli Parlimen Port Dickson tidak lagi popular hanya ciptaan musuh politiknya.

“Tidak timbul soal PKR ketandusan pemimpin sebab ramai ahli parti menawarkan diri bertanding di peringkat jawatan dalam PKR yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan etnik. Mereka tak bertanding di peringkat presiden kerana mereka yakin Anwar paling layak menerajui PKR,” katanya kepada FMT.

Tonton video di sini.

Pendirian sama juga disuarakan Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara yang berpandangan bahawa kemenangan Anwar tanpa bertanding bukanlah kerana ketandusan kepimpinan dalam PKR tetapi lebih kepada Anwar dan perjuangan PKR itu yang sinonim.

Azmi Hassan.

Katanya, dalam PKR ada beberapa nama yang layak menggantikan Anwar antaranya Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail berdasarkan prestasi dua pemimpin itu dalam parti sebelum ini.

Jelasnya, dengan kemenangan Anwar sebagai presiden, beliau perlu memberi persepsi kepada rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang lain bahawa dirinya mampu membawa pembangkang kembali diyakini dalam pilihan raya umum (PRU).

Katanya jika gagal, Anwar perlu berundur dan menyerahkan jawatan presiden kepada timbalannya memandangkan rekod kekalahan PKR dan PH dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) membuktikan beliau gagal menyakinkan rakyat dan peluang kedua ini perlu diguna sebaiknya.

“Penting untuk Anwar memberi persepsi kepada parti di luar PKR terutamanya parti PH, Amanah, DAP, Upko dan pembangkang lain seperti Warisan, Pejuang dan Muda, jikalau beliau ingin membawa PH dan PKR ke depan,” katanya.

Ahmad Atory Hussain.

Bagi bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain pula berkata, walaupun PKR mempunyai pemimpin yang layak diangkat sebagai presiden, namun ia sukar menyamai karisma Anwar.

“Kalau pun ada, tapi malangnya beberapa tokoh telah pun keluar daripada PKR seperti Azmin Ali yang dianggap pengganti Anwar yang paling layak.

“Buat masa ini masih belum lagi ada, cuma pemimpin-pemimpin muda seperti Rafizi Ramli difikirkan layak sebagai pengganti tapi untuk akan datang, bukan sekarang,” katanya.

Tambah beliau, untuk memastikan PKR dan PH kembali relevan dan kembali diyakini, Anwar tidak boleh lagi mempunyai pendirian “flip flop”.

Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berkata, sukar untuk menggantikan posisi dipegang Anwar kerana PKR terhutang budi dengan “bapa reformasi” itu.

Selain itu beliau telah membawa parti itu ke pentas arus perdana sehingga berjaya membentuk Pakatan Rakyat dan kemudian PH.

Iskandar Hasan Tan Abdullah.

“Apa yang menarik PKR kini berhadapan dengan kepimpinan yang lebih progresif dan bertenaga dalam membawa sokongan anak muda bawah 25 tahun.

“Berkemungkinan Muda akan mengambil alih PKR satu masa nanti jika PKR gagal membawa gagasan baharu yang mampu menarik anak muda yang ingin corak politik yang lebih ideal dan sesuai dengan cita rasa mereka.

“Sudah tiada dalam kepimpinan PKR yang mampu menawarkan impian tersebut kepada anak muda masa kini. Aura Anwar ibarat awan mendung yang sudah berlalu, Anwar sepatutnya sedar bahawa calon yang paling sesuai untuk mengambil tampuk kepimpinan PKR adalah anaknya, Nurul Izzah yang lebih akrab dengan idea dan impian anak muda,” katanya.

Anwar sekali lagi kekal sebagai presiden PKR susulan tiada pencabar selepas proses penyerahan borang pencalonan pemilihan parti bagi penggal 2022/2025 ditutup 11.59 malam semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.