
Ramkarpal yang juga peguam berkata, adalah menjadi budi bicara kepada peguam negara (AG) ketika itu, Tommy Thomas, sama ada ingin mencabar pembebasan Sam. Thomas menjadi peguam negara bermula 2018 hingga 2020.
“Ada cukup keraguan ditimbulkan (dalam kes pendakwaan) oleh pihak pembelaan daripada apa yang saya baca.
“Kita tidak dapat ulas (sama ada ia adalah benar atau salah) berhubung budi bicaranya,” kata Ramkarpal selepas menghadiri pendengaran permohonan ikat jamin Sam di Mahkamah Rayuan, hari ini.
Mahkamah Majistret Johor Bahru, pada 28 Okt 2019, membebaskan Sam berhubung pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal dimodifikasi, pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.
Tidak berpuas terhadap pembebasannya, Pejabat Timbalan Pendakwa Raya di Johor kemudian memfailkan rayuan. Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman, memerintahkan Sam menjawab pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
Majistret Siti Hajar Ali, yang sebelum ini mendengar kes pendakwaan, pada 2019, sekali lagi membebaskan Sam daripada pertuduhan yang dikenakan tahun lalu, selain menyatakan pendakwaan tidak membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan kedua terhadap Sam, dan hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar, membenarkan rayuan pendakwaan dan mensabitkan Sam kerana memandu secara melulu, pada 13 Apr.
Hakim menjatuhi Sam hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000. Beliau juga tidak membenarkan Sam diikat jamin dan memerintahkan hukuman berjalan serta merta.
Pagi ini, Mahkamah Rayuan membenarkan ikat jamin terhadap Sam sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain membenarkan permohonan rayuan ke atas sabitannya dan hukuman.