Saya tak percaya pada Amirudin, Farhash jelas sebab bertanding di Gombak

Saya tak percaya pada Amirudin, Farhash jelas sebab bertanding di Gombak

Bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador, mencabar Amirudin Shari untuk jawatan ketua PKR bahagian.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata keputusan kembali ke Selangor ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, malah ia dibincangkan dengan kepimpinan parti.
KUALA LUMPUR:
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendedahkan beliau mencabar Amirudin Shari untuk jawatan ketua PKR Gombak kerana tidak mempercayai menteri besar Selangor itu.

“Menteri besar watak penting di Selangor. Saya akui sumbangan beliau kepada parti, bahagian Gombak, dan negeri,” katanya dalam temubual FMT.

“Tapi ini soal kepercayaan. Saya tak percaya pada Amirudin.”

Bekas pembantu Presiden PKR, Anwar Ibrahim, itu berkata beliau mencabar Amirudin untuk menentukan apakah ketua PKR Gombak itu mendapat sokongan dan kepercayaan akar umbi.

Bekas ketua PKR Perak itu berkata keputusan kembali ke Selangor ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, malah ia dibincangkan dengan kepimpinan parti.

Katanya, bertanding jawatan tertinggi PKR Gombak itu bukan semata-mata kerana Amirudin, tetapi juga untuk meningkatkan peluang parti mempertahankan Selangor pada PRU15.

“Sudah tentu kemenangan saya di Gombak akan melemahkan Amirudin…tapi beliau tidak perlu bimbang sekiranya dia kuat dan disokong akar umbi.”

Beliau berkata PKR Gombak ‘retak’ selepas Ahli Parlimennya, Azmin Ali, dan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham, keluar parti dan menyertai Bersatu, susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Farhash berharap akan menang besar di Gombak, menyatukan bahagian itu, dan memupuk semula idealisme parti dalam kalangan ahli bagi menghadapi PRU.

Amirudin terpilih sebagai ketua bahagian Gombak dalam pemilihan 2018, menewaskan Nizam Md Saad dengan 1,115 undi.

Farhash juga akan bertanding jawatan naib presiden dalam persaingan 17 pihak, termasuk Amirudin, Ketua Wanita Fuziah Salleh, dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.