Wanita mengaku tak salah tipu pelaburan emas RM61,000

Wanita mengaku tak salah tipu pelaburan emas RM61,000

Tertuduh didakwa memperdaya mangsa sehingga membuat transaksi pindahan wang antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank.

Mahkamah membenarkan tertuduh Nurfatin Natasha Abdullah, 28, diikat jamin RM16,000 dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. (Gambar Reuters)
KOTA BHARU:
Seorang pembantu perawatan kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan menipu rakan sekerjanya dengan tawaran pelaburan emas tidak wujud membabitkan kerugian RM61,050 tahun lalu.

Nurfatin Natasha Abdullah, 28, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Aida Masirah Mohd Salleh, 51, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian antara 25 Nov hingga 21 Dis 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun maksimum 10 tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Aida sehingga mendorong mangsa membuat transaksi pindahan wang antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry tidak menawarkan jaminan kepada Nurfatin kerana kes itu serius dan membabitkan penipuan manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon supaya dibenarkan diikat jamin dengan kadar minimum.

Bazli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.