
GEORGE TOWN: Kerajaan diminta menangani isu membabitkan doktor pelatih termasuk kejadian buli dan terlebih kerja.
Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy dan Exco agroteknologi & keselamatan makanan, pembangunan luar bandar dan kesihatan negeri, Norlela Ariffin, mengulas berhubung nasib doktor pelatih susulan kematian seorang doktor berkenaan di Hospital Pulau Pinang, baru-baru ini.
Doktor pelatih berkenaan dipercayai ‘terjatuh’ selepas tiga minggu bertugas di hospital berkenaan. Pada Dis 2020, seorang doktor pelatih di hospital sama meninggal dunia, tiga minggu selepas dia berhenti.
Ramasamy berkata, beliau mendengar pelbagai cerita mengenai doktor pelatih dibuli di hospital awam.
“Adakah Kementerian Kesihatan terlalu sibuk membendung Covid-19, sehinggakan perkara lain dilupakan atau diselindungkan?
“Adalah memalukan apabila hospital kerajaan tidak menangani amalan buli di tempat kerja, sama ada membabitkan doktor pelatih mahu pun mana-mana kakitangan lain. Kematian seorang doktor sekali pun tidak patut dipandang enteng,” katanya yang juga Exco sumber manusia.
Ramasamy berkata, polis sepatutnya tidak mengklasifikasikan kes berhubung kematian doktor pelatih berkenaan sebagai “mati mengejut”, malah perlu melaksanakan siasatan menyeluruh punca kepada kematian itu.
Dalam pada itu, Sementara itu, Exco Kesihatan Negeri, Norlela Ariffin, mendakwa ahli keluarga yang pernah menjadi doktor pelatih, terbabit dalam 27 kemalangan kereta akibat keletihan kerana terpaksa bekerja dalam tempoh yang panjang.
“Maklum balas yang saya terima daripada Kementerian Kesihatan termasuk ahli politik, mengatakan semua doktor perlu melalui perkara itu. Ia seolah-olah diterima sebagai budaya dalam kerjaya perubatan,” katanya.
Norlela membandingkan pengalaman ahli keluarganya yang pernah bertugas di hospital di United Kingdom (UK), di mana katanya, keseimbangan kehidupan dan pekerjaan lebih “berperikemanusiaan” berbanding di Malaysia.
Katanya, Kementerian Kesihatan sebelum ini berkata, isu bebanan kerja berlaku disebabkan kekurangan kakitangan kerana ramai graduan perubatan belum dilantik sebagai doktor pelatih.
“Ini tidak masuk akal kerana Kementerian Kesihatan yang menangguhkan pelantikan berkenaan, sedangkan doktor terpaksa membuat keputusan antara hidup dan mati dalam memberi rawatan kepada pesakit walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan kerja yang teruk,” katanya.