
Ketua penyelaras Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, pihak berkuasa Singapura mengambil tindakan ke atas kelantangan Ravi berhubung hak asasi manusia menerusi siasatan polis, tindakan disiplin dan prosiding menghina mahkamah.
Beliau berkata, tindakan itu diambil terhadap Ravi kerana membela keldai dadah yang dijatuhkan hukuman mati, termasuk ramai warganegara Malaysia.
Katanya, Ravi memberikan khidmat guaman pro bono selama lebih sedekad kepada ramai individu dan bersuara mengenai hak asasi manusia di Singapura serta hak rakyat Malaysia yang tidak mendapat perbicaraan adil di republik itu.
Menurut LFL, Ravi berdepan tujuh siasatan disiplin profesional yang boleh menyebabkan beliau didenda, digantung atau lesen guaman dilucutkan, dengan tiga prosiding menghina mahkamah dan siasatan polis berasingan.
“Jumlah kes tertunggak yang dilancarkan kerajaan, peguam negara dan mahkamah sangat menakjubkan.”
Zaid berkata, prosiding itu termasuk tindakan yang diambil terhadap Ravi kerana bersungguh-sungguh membela rakyat Malaysia kurang upaya, Nagaenthran K Dharmalingam, yang dihukum gantung minggu lalu walaupun mendapat kritikan meluas.
Nagaenthran, 34, dihukum gantung minggu lalu kerana menyeludup 42.72g heroin ketika memasuki Singapura pada 2009. Peguamnya berkata, beliau kurang upaya dari segi mental.
“Adalah membimbangkan apabila melihat sejauh mana Singapura sanggup bertindak untuk memusnahkan Ravi atas pendirian berprinsipnya.”
Katanya, Singapura mempunyai kewajipan untuk memastikan peguam boleh menjalankan tanggungjawab profesional mereka tanpa intimidasi, halangan, gangguan atau campur tangan tidak wajar, sejajar prinsip asas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai peranan peguam.