Op Selamat: 113 maut setakat semalam

Op Selamat: 113 maut setakat semalam

Penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah tertinggi dengan 72 kematian.

Pada hari keenam pelaksanaan Op Selamat, 1,455 kemalangan direkodkan membabitkan 24 kematian, kata Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 113 kes kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat setakat semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata, sepanjang enam hari Op Selamat yang dilancarkan pada 29 Apr lalu sempena musim perayaan Aidilfitri itu juga, sejumlah 9,816 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Pada hari pertama operasi berkenaan, sebanyak 2,140 kemalangan direkodkan membabitkan 10 kematian dalam 10 kemalangan maut, manakala pada semalam sahaja (hari keenam) sebanyak 1,455 kemalangan direkodkan membabitkan 24 kemalangan maut, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 72 kematian, diikuti 30 pemandu dan penumpang kereta, enam pejalan kaki, dua kematian melibatkan pemandu dan penumpang van, dua kematian pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda serta satu pemandu atau penumpang teksi.

Razarudin berkata, Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 2,160 kes, diikuti Johor (1,372 kes), Perak (982 kes), Kuala Lumpur (875 kes), Pulau Pinang (803 kes), Kedah (659 kes), Pahang (561 kes) dan Negeri Sembilan (507 kes).

Katanya lagi, Melaka pula mencatat 405 kes kemalangan diikuti Kelantan (484 kes), Sarawak (319 kes), Sabah (311 kes), Terengganu (303 kes) dan Perlis (75 kes).

“Jalan bandaran mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,876 kes, diikuti jalan persekutuan dengan 2,148 kes, jalan negeri (1,937 kes) dan lebuh raya (1,043 kes),” katanya.

Sepanjang tempoh itu juga katanya, sebanyak 26,837 saman bagi enam kesalahan utama dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dengan kesalahan memandu melebihi had laju mencatatkan saman tertinggi, iaitu 25,582 saman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.